Pemandu lori ditahan bersama syabu
ALOR SETAR - Seorang pemandu lori ditahan dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 di Plaza Tol Gurun di sini semalam kerana disyaki membawa bungkusan mengandungi dadah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Kedah, Superintenden Chuah Seong Lim berkata, lelaki berusia 33 tahun berkenaan ditahan selepas tidak menghentikan kenderaan ketika pemeriksaan pada jam 6.50 petang itu.
Katanya, lelaki berkenaan didapati tidak memberhentikan kenderaan ketika diarahkan dan memecut memasuki plaza tol.
"Susulan itu, polis mengekori kenderaan suspek dari Plaza Tol Gurun hingga ke KM1 Arah Utara Lebuh Raya Utara Selatan sebelum menahan pemandu terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menemui bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu yang diletakkan dalam sebuah kotak rokok ketika memeriksa sebuah beg galas.
Susulan itu, katanya, polis merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 0.26 gram sebelum menahan suspek dan dibawa ke Balai Polis Gurun untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!