[TIDAK RASMI] Hanya menang empat kerusi, PH akur keputusan rakyat

Adly (dua dari kiri) bersama Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim (dua dari kanan) dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di Melaka pada Sabtu.
Adly (dua dari kiri) bersama Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim (dua dari kanan) dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di Melaka pada Sabtu.
A
A
A

HANG TUAH JAYA – Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dengan terbuka selepas hanya memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Empat kerusi berkenaan ialah Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu dihormati sebagai mandat yang diberikan rakyat Melaka dan akan dijadikan asas untuk memperkukuhkan usaha serta gerak kerja gabungan berkenaan pada masa hadapan.

Menurut beliau, PH percaya keputusan pilihan raya mempunyai dinamik tersendiri dan ruang untuk penambahbaikan sentiasa terbuka.

"Pakatan Harapan juga menerima keputusan ini sebagai tanggungjawab demokrasi dan asbab untuk memperkukuhkan lagi usaha dan gerak kerja kami ke hadapan.

"Pakatan Harapan sentiasa percaya bahawa keputusan pilihan raya mempunyai dinamik tertentu dan boleh diperbaiki lagi pada masa hadapan," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Adly berkata, keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diteliti sebelum sebarang langkah penambahbaikan diputuskan.

Tambahnya, prestasi PH di Melaka akan dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira keputusan pilihan raya di beberapa negeri lain termasuk Johor dan Negeri Sembilan.

"Keputusan di Melaka akan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden untuk diteliti dan dibincangkan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Ruang itu pelbagai dan kita akan melihat semua faktor berdasarkan keputusan yang diperoleh," katanya lagi.

Adly yang juga calon dan penyandang DUN Bukit Katil turut menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

"Bukit katil di atas kertas ketinggalkan sekitar 5,000 hingga 6,000 undi dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

"Kita hormati keputusan masyarakat Bukit Katil dan rakyat Melaka," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua wakil rakyat yang dipilih supaya melaksanakan amanah dengan berkhidmat kepada seluruh penduduk di kawasan masing-masing tanpa mengira kecenderungan politik mereka.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!