Premis makanan bukan Islam beroperasi dari 7 pagi hingga 7 petang

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang memberi kebenaran kepada premis makanan bukan Islam di negeri tersebut untuk beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 petang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ramadan ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun kebenaran itu hanya tertakluk kepada premis makanan yang berada di bangunan lot kedai dan aktiviti penjualan secara ‘take away’, pandu lalu dan penghantaran (COD).

Tegasnya, keputusan berhubung kebenaran itu adalah sebagai tindak-balas kepada aduan pihak-pihak berkenaan khususnya daripada peniaga premis makanan bukan Islam berhubung ketetapan waktu operasi antara 12 tengah hari hingga 7 petang yang ditetapkan oleh sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT.

"Sebagai kerajaan negeri yang prihatin dan responsif terhadap apa juga perkara yang diadukan, maka keputusan hari ini dianggap tepat dan munasabah.

"Dengan keputusan ini saya berharap, para peniaga premis makanan bukan Islam dapat menerimanya dengan baik untuk meneruskan perniagaan namun mereka perlu terus akur kepada segala yang telah ditetapkan,"katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, sepertimana keputusan hari ini serta ketetapan-ketetapan yang telah dibuat sebelumnya, matlamat utamanya untuk memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19 ) agar pandemik ini dapat di atasi dengan kadar segera.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!