Pelantikan wakil PN dalam kerajaan hak prerogatif Ketua Menteri - Idris Ahmad

AYER KEROH – Perikatan Nasional (PN) menyerahkan sepenuhnya kepada pertimbangan Ketua Menteri berhubung kemungkinan wakil gabungan itu diberikan tempat dalam pentadbiran kerajaan negeri susulan kemenangan BN dan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Idris Ahmad berkata, perkara berkenaan merupakan hak prerogatif Ketua Menteri dan beliau tidak mahu membuat sebarang ulasan lanjut mengenainya.
“Itu kuasa prerogatif daripada Ketua Menteri, saya enggan komen bab ini.
“Kepada kita, apa yang penting agenda hari ini ialah langkah pertama, menang dulu dan kita telah buktikan,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan PRN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengenai kesediaan BN menawarkan tempat dalam pentadbiran negeri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN yang memenangi kerusi pada PRN Melaka.
Dalam perkembangan sama, Idris menyifatkan kejayaan kerjasama BN dan PN pada pilihan raya kali ini sebagai hasil kesepakatan serta gerak kerja jentera kedua-dua gabungan, terutama di peringkat akar umbi.
Menurutnya, keputusan tersebut turut membuktikan kerjasama berkenaan mendapat penerimaan rakyat, termasuk dalam kalangan pengundi muda.
Ditanya hala tuju kerjasama selepas PRN Melaka, beliau berkata, Muafakat Nasional di negeri itu akan terus diperkukuh dengan meletakkan Putrajaya sebagai sasaran seterusnya.
“Seperti selalu saya sebut, ia bermula bertunas di Johor, kemudian berputik di Negeri Sembilan, hari ini berbuah dan Insya-ALLAH rendangnya pula di Putrajaya,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
