Hospital Sungai Buloh terima 920 set PPE
SUNGAI BULOH - Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras mengambil inisiatif membantu petugas barisan hadapan menerusi penyerahan sebanyak 920 kelengkapan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kakitangan Hospital Sungai Buloh (HSB).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda sokongan kepada petugas barisan hadapan di hospital berkenaan yang bertungkus-lumus menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, penyerahan kelengkapan itu adalah meliputi 470 helai PPE dan 450 topeng muka.
"Pengorbanan petugas barisan hadapan amat dihargai malah mereka sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan orang lain," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bekalan PPE mencukupi, namun segelintir hospital terputus bekalan berikutan masalah logistik.
Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut memuji usaha warga KKM yang berinovasi dalam penghasilan PPE.
Malah, beberapa agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) turut mengambil inisiatif bagi menghasilkan kelengkapan PPE dalam usaha membantu menampung keperluan bekalan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!