Air sirap ganti susu anak
ALOR SETAR - Akibat kesempitan hidup, seorang ibu cuma mampu memberi anak kecilnya yang berusia tujuh bulan minum air sirap bagi menggantikan susu tepung.
Siti Kholijah Dahlan, 35, berkata, anak bongsunya, Muhammad Harras Miqail Mohd Shukri sudah tiga hari tidak diberikan susu kerana kehabisan bekalan itu hingga dia terpaksa menggantikan susu tepung dengan air sirap supaya anaknya tidak menangis kelaparan.
"Saya tidak dapat beli susu tepung sebab terputus duit belanja. Perlu guna untuk benda penting lain seperti makanan untuk seisi keluarga," katanya.
Siti Kholijah berkata, ini berikutan pendapatan suaminya, Mohd Shukri Awang, 39, terjejas setelah Perintah Kawalan Keselamatan ( PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
"Suami mengambil upah meracun rumput dan buat kerja-kerja kampung, waktu PKP dia tak dapat bekerja, tak adalah pendapatan, macam mana nak beli susu dan lampin pakai buang," katanya.
Kisah keluarga itu tersingkap apabila dikunjungi sukarelawan dari Persatuan Belia Santai Ganerasi Muda, ketika turun padang menyampaikan sumbangan di rumahnya, di Kampung Padang, mukim Tajar.
Pengerusinya, Mohamad Azhar Abd Aziz berkata, keluarga itu diberikan sumbangan barangan dapur dan susu tepung bagi membantu mengurangkan beban kehidupan.
"Ketika itu, kami tiada dana dari penyumbang, lalu ambil inisiatif gunakan duit poket sendiri untuk bantu mereka," katanya, yang dibantu seorang lagi sukarelawan Yayasan Sultanah Bahiyah, Nurul Zawani Jamaludin.
Menurutnya, keluarga itu turut mempunyai enam lagi anak berusia antara 18 hingga dua tahun.
Mohamad Azhar berkata, pihaknya fokus kepada golongan asnaf dan sehingga kini telah membantu 24 keluarga.
"Sumbangan akan diteruskan sehingga PKP ditamatkan. Saya mewakili penerima mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang sudi membantu keluarga yang memerlukan ini," katanya.
Mohamad Azhar berkata, pihaknya bergantung kepada sumbangan orang ramai selain mencari dana sendiri bagi menyediakan barangan bantuan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!