Belajar, komputer dan internet
SEPERTI kata Perdana Menteri sebelum ini, kita tidak akan menjalani kehidupan seperti biasa lagi. Tetapi melangkah ke arah new normal ataupun kebiasaan baharu.
Kebiasaan baharu ini telahpun bermula, terutama dalam pembelajaran anak-anak. Anak-anak tidak lagi ke sekolah buat masa ini perlu menjalani pembelajaran secara dalam talian pula.
Saya mempunyai lima orang anak. Tiga orang bersekolah rendah dan dua orang bersekolah menengah. Yang besar tidak menjadi hal kerana mempunyai telefon bimbit sendiri untuk pelajaran dalam talian.
Yang bersekolah rendah, setiap pagi perlu disediakan dua komputer riba untuk pembelajaran secara maya. Sebelum diberitahu pelajaran apa yang akan disediakan cikgu, saya atau ibunya perlu bersedia pula melihat hantaran WhatsApp.
“Mama Cikgu dah hantar ke?” tanya Hadi yang bersekolah darjah lima.
“Mama, nama e-mel untuk Google Classroom, cikgu dah beri?” tanya Hazim yang darjah tiga.
Yang bongsu tidak banyak bertanya. Asyik dengan televisyen sahaja, sebelum ibunya menutup televisyen supaya fokus kepada pembelajaran. Anak saya yang bongsu ini juga bersekolah dalam darjah tiga sama dengan abangnya sebab lahir pada awal tahun, cuma kelas sahaja lain-lain.
“Hah, cikgu dah hantar mesej. Boleh masuk dalam Google Classroom dengan kod ini untuk subjek Sejarah. Ikut giliran log in. Kena beratur juga,” beritahu ibunya sambil ketawa.
Dengan pantas mereka memasukkan kod untuk menjawab soalan-soalan kuiz atau kerja sekolah yang diarahkan cikgu secara bergilir-gilir. Kemudian untuk subjek lain juga begitu. Cikgu pula kadangkala dengan penuh kerajinan, bertubi-tubi pula memberi beberapa kerja sekolah.
Riuh rendah juga dalam kumpulan WhatsApp bertanya itu dan ini tentang pembelajaran dalam talian ini. Itu baru satu subjek. Biasanya akan ada lebih kurang tiga atau empat subjek untuk kerja sekolah.
Mereka pula berebut-rebut untuk menggunakan komputer. Mujur saya ada dua komputer. Itu pun masih belum cukup satu. Maka terpaksalah menunggu giliran. Saya pun terpaksa menunggu giliran juga apabila perlu membuat kerja pejabat dari rumah. Sementara menunggu giliran, sekali lagi cikgu dengan pantasnya menghantar tugasan baharu pula. Kelam-kabut juga kadangkala untuk meneliti dan memastikan anak-anak boleh mengikut kerja-kerja sekolah yang diberi.
Selain itu, masalah internet yang perlahan juga menyebabkan kerja terbantut. Dan ada juga masalah tidak boleh akses ke laman Google Classroom walaupun, katanya, e-mel dan kata laluan sudah betul. Timbul pula masalah kod subjek yang diberi cikgu tidak boleh akses walaupun ada sesetengahnya boleh pula. Ini menambah lagi rencah dalam menghadapi kebiasaan baharu ini.
“Cikgu, kod Sejarah tidak boleh masuk ni,” kata seorang pelajar dalam kumpulan WhatsApp.
“Eh saya boleh sahaja,” katanya pelajar lain pula.
“Kenapa tak boleh pula? Kod dah betul tu,” jawab cikgu pula.
“Tak bolehlah cikgu,” berkata pelajar lain pula sambil memuat naik gambar yang ditangkap layar untuk bukti.
“Hmm, cikgu pun tak tahu. Google suruh pi tidur dululah tu agaknya,” kata cikgu sambil berseloroh.KebiasaanPada masa sama, anak-anak sebenarnya nampak seronok juga dengan cara kebiasaan baharu ini. Mereka dapat menjadikannya sebagai latihan menggunakan teknologi dan juga sebagai pengajaran juga kepada Kementerian Pendidikan dalam melihat keberkesanan sistem pendidikan cara baharu ini.
Seingat saya juga dahulu, di Terengganu kerajaan memberi peranti tablet percuma untuk anak-anak di sekolah sebagai alat bantuan belajar. Cuma saya tidak pasti juga apa yang terjadi tentang perkara ini. Masih ada lagikah atau tidak?
Kalau ada elok diteruskan sahaja untuk diberi percuma terutama kepada mereka yang mempunyai ramai anak.
Dan ia akan menjadi kebiasaan kepada kita pada masa akan datang nanti. Jadi untuk itu perlulah biasa-biasakan diri. Tetapi untuk biasa-biasakan diri perlulah ada sistem sokongan yang bagus juga. Kalau tidak, sia-sia sahaja.
Kebiasaan baharu ini juga mengajar kita untuk biasakan diri dengan beratur. Bukan beratur di luar sahaja ketika membeli barang dapur, tetapi juga beratur menunggu giliran untuk menggunakan peranti digital pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!