Nostalgia hidangan sup tulang merah
JOHOR - Setiap kali tiba bulan Ramadan, sudah pasti pelbagai menu dan juadah disediakan sebagai sajian berbuka puasa untuk seisi keluarga.
Namun, ketibaan Ramadan pada tahun ini berlainan dengan tahun-tahun sebelumnya susulan dunia dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) yang menuntut rakyat duduk di rumah. Akibatnya, suasana kemeriahan bazar Ramadan juga sepi.
Lauk-pauk dan juadah kegemaran yang biasanya boleh dibeli di bazar Ramadan kini mungkin sukar untuk diperoleh, justeru Sinar Harian ingin berkongsi resipi-resipi yang mungkin dapat dijadikan idea sebagai menu berbuka puasa.
Sup tulang merah adalah antara menu popular di selatan tanah air Johor.
Berkongsi cerita tentang resipi itu, Penyelaras Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor, Roziah Kamal berkata, resipi tersebut mempunyai nostalgia tersendiri kepada dirinya.
“Kisahnya seingat saya dua tiga tahun lepas. Biasanya saya beli sahaja sebelum ini tetapi entah macam mana hari itu susah nak dapatkan sup tulang merah ini.
“Jadi saya rujuklah resipi di internet dan saya olah dengan cara tersendiri. Kali pertama masak terus menjadi dan enak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Roziah berkata, sejak itulah menu sup tulang merah menjadi juadah kegemaran keluarganya setiap kali menjelang Ramadan, selain dijadikan menu utama ketika Hari Raya Aidilfitri.
Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, petua untuk mendapatkan tekstur daging kambing yang lembut dan membangkitkan rasa, tulang gear box perlulah direbus bersama bahan-bahan masakan menggunakan periuk elektrik selama semalaman.
****
SUP TULANG MERAH
Bahan A
- 4 biji bawang besar
- 8 biji bawang putih
- 2 inci halia
- 4 sekawan (rempah tumis)
Bahan B
- Setengah cawan sos tomato
- Suku cawan sos cili
- Suku cawan cili kering kisar
- 2 sudu besar tomato puri
- 2 sudu besar jintan manis
- 2 sudu besar jintan putih
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
Bahan C
- 2 biji kentang (dipotong dadu)
- 1 batang lobak merah (dipotong dadu)
- 1 batang seleri dipotong (kalau suka)
- Bahan D
- 4 biji kentang (dipotong dan kisar)
- Bahan-bahan lain
- Garam
- Gula merah
- Serbuk perasa tambahan
- Daun bawang
- Daun sup
- Bawang goreng
Cara Memasak
- Tumis bahan A sehingga naik bau dan masukkan bahan B bermula dengan cili kering sehingga pecah minyak dan masukkan bahan yang lain.
- Setelah bahan A dan B garing, masukkan 600ml air dan bahan C.
- Masukkan bahan D yang telah dikisar. Kacau sehingga mereneh dan masukkan serbuk perasa tambahan, gula merah dan garam secukup rasa.
- Masukkan tulang kambing bahagian gear box yang telah direbus semalaman.
- Hidangkan bersama hirisan daun bawang, daun sup atau ketumbar serta bawang goreng dan boleh dinikmati dengan roti Perancis atau nasi panas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!