Perak harap lebih banyak industri boleh dibuka

Ahmad Faizal (kanan) menyampaikan makanan sahur kepada petugas barisan hadapan ketika melawat sekatan jalan raya berhampiran plaza tol Jelapang, di sini malam tadi.
Ahmad Faizal (kanan) menyampaikan makanan sahur kepada petugas barisan hadapan ketika melawat sekatan jalan raya berhampiran plaza tol Jelapang, di sini malam tadi.
A
A
A

IPOH - Kerajaan diminta meneliti industri-industri yang boleh dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 12 Mei depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu penting dalam memastikan sektor ekonomi dapat dipulihkan tanpa mengabaikan aspek kesihatan dalam mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, antara industri yang boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula mestilah beroperasi di kawasan yang tidak melibatkan ramai orang.

"Saya harap juga kerajaan akan meneliti bagaimana untuk memulihkan semula ekonomi juga. Tentunya keadaan kita di negeri Perak ini banyak terasa apabila banyak industri yang membantu ekonomi tidak dibuka.

"Tentunya ada industri-industri yang boleh dimulakan dan saya harap orang ramai juga akan faham terdapat industri-industri perlu dibuka untuk memberi pendapatan kepada negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan makanan sahur kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya berhampiran plaza tol Jelapang, di sini malam tadi.

Hadir sama pada program tersebut, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tempoh PKP dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei.

Ahmad Faizal berkata, pembukaan industri-industri itu juga diharap tidak menimbulkan persoalan kepada pihak-pihak tertentu kerana keputusan dibuat atas kepentingan ekonomi negeri.

Artikel Berkaitan:

"Saya beri contoh industri pengkuarian, kerajaan telah memberikan kebenaran kepada kerajaan negeri untuk menentukan sama ada industri tersebut boleh dibuka atau tidak dan di Perak kita telah membuat keputusan untuk industri tersebut boleh dibuka kerana dalam operasi mereka tidak melibatkan bilangan pekerja yang ramai dan begitu jauh daripada orang ramai.

"Ia juga penting kerana beri hasil yang banyak kepada negeri dan mereka juga ada tempahan yang perlu mereka penuhi. Jika tidak mereka pula akan dikenakan denda dengan jumlah yang besar. Di Perak dah mula. Kalau orang ramai tahu industri dibuka, jangan pula ada yang tuding-menuding jari. Kerajaan buat keputusan untuk kebaikan semua bukan nak lebihkan sesiapa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal mengingatkan orang ramai agar terus mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan meskipun terdapat sedikit kelonggaran diberikan.

Menurutnya, jumlah pesakit positif Covid-19 yang semakin berkurangan bukan alasan untuk membolehkan orang ramai kembali melalukan kebiasaan sebelum ini.

Beliau berkata, normal-normal baharu sepanjang pelaksanaan PKP masih perlu dipraktikkan dalam tempoh masa yang lama sama ada PKP diteruskan atau ditarik balik.

Sementara itu, mengenai pemberian makanan untuk berbuka dan sahur kepada petugas barisan hadapan, Ahmad Faizal menjelaskan, kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bekerjasama menyediakan makanan tersebut setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

"Kita sedar waktu bulan Ramadan ini bukan mudah bagi mereka untuk menyiapkan sajian makanan. Usaha ini melalui semua pejabat daerah melibatkan lebih 3,000 petugas di semua sekatan jalan raya dan hospital. Perkara ini dapat meringankan beban petugas kita.

"Jika ada orang perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan yang ingin membantu, boleh menghubungi kerajaan negeri dan pejabat-pejabat daerah untuk disalurkan sumbangan terus kepada petugas kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!