Pembawa sedia bawa pulang penuntut di kampus pulang ke kampung

 Laili Ismail
Laili Ismail
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) bersedia membantu untuk menghantar penuntut terkandas di kampus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibenarkan pulang oleh kerajaan semalam.

Bendaharinya, Laili Ismail berkata, terdapat 18 syarikat yang bernaung di bawah Pembawa di seluruh negeri dan masing-masing sudah menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian sekiranya sesuai dengan terma serta syarat ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, persatuan mempunyai 747 buah bas di seluruh negeri yang boleh digunakan untuk menghantar penuntut-penuntut yang berada di kampus sepanjang PKP bermula 18 Mac lalu.

“Pembawa menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan penuntut-penuntut berkenaan pulang secara berperingkat dengan kawalan yang ketat.

“Perbincangan lanjut bagi melancarkan usaha tersebut perlu dijalankan dengan kerajaan supaya semua penuntut terlibat selamat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan memberikan kelonggaran dengan memberi peluang kepada penuntut- penuntut di kampus pulang sekiranya kes koronavirus (Covid-19) semakin berkurangan.

Merealisasikan berita gembira tersebut, semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membenarkan pergerakan penuntut bermula Isnin ini yang mana waktu perjalanan dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi.

Kerajaan juga memaklumkan bahawa pergerakan secara berperingkat hanya melibatkan perjalanan ke zon hijau.

Artikel Berkaitan:

Sebagai langkah menangani jangkitan, penuntut yang terlibat akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan dan topeng muka

Selain itu, kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Dalam masa sama, Laili yang juga Pengarah Urusan Ekspres Perdana juga bersetuju dengan langkah praktikal ditetapkan kerajaan supaya tindakan berkenaan tidak memberi aplikasi buruk selepas ini.

“Pembawa juga menasihatkan semua peserta yang terlibat nanti untuk sama-sama mematuhi ketetapan kerajaan dan berada di rumah setelah dibenarkan pulang untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!