Liga Belanda dibatalkan
Persekutuan Bola Sepak Belanda (KNVB) mengambil keputusan untuk membatalkan saingan Liga Eridivise akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Keputusan itu dibuat KNVB selepas menilai kemungkinan liga tidak sempat dihabiskan memandangkan kerajaan Belanda melarang sebarang aktiviti besar-besaran sehingga 1 September ini.
Pembatalan liga itu juga menyaksikan tiada pasukan yang ditabalkan sebagai juara selepas Ajax dan AZ Alkmaar berkongsi mata di kedudukan teratas liga dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.
"Dengan keputusan kerajaan berkenaan Covid-19 ini, ia jelas amat mustahil untuk liga ini dihabiskan pada waktunya. Ia juga jelas kepada semua orang yang terlibat bahawa kesihatan yang perlu diutamakan.
"Selepas berunding dengan semua pasukan, pemain dan jurulatih serta mendapat pengesahan, kami mengambil keputusan membatalkan liga dan pasukan yang layak ke saingan peringkat Eropah akan dikira berdasarkan turutan kedudukan liga.
"Ia selaras dengan garis panduan UEFA dan tiada pasukan akan dipromosikan ataupun tersingkir," kata kenyataan rasmi KNVB, semalam.
Ini adalah kali pertama saingan liga Belanda ditamatkan sejak 1945 tanpa mana-mana pasukan ditabalkan sebagai juara.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ajax, Edwin van der Sar mengakui kecewa selepas pasukannya tidak ditabalkan sebagai juara, namun mengakui memahami situasi yang sedang dihadapi ketika ini.
"Sebagai pemain dan pasukan, sudah tentu kami mahu menjadi juara dan menunjukkan kepada semua bahawa kami yang layak untuk gelaran tersebut.
"Agak kecewa selepas tidak diumumkan sebagai juara, tetapi dalam keadaan ini, kami memahaminya. Ada perkara lebih penting daripada bola sepak buat waktu ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!