Adly Ketua Pembangkang DUN Melaka
MELAKA TENGAH - Bekas Ketua Menteri yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Adly Zahari akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka berlangsung pada 11 Mei depan.
Perkara itu dipersetujui sebulat suara Pakatan Harapan Melaka menerusi satu mesyuarat secara dalam talian yang diwakili 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Ab Wahab; ADUN Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin; ADUN Kesidang, Alex Seah Shoo Chin; ADUN Duyong, Damian Yeo Shen Li, ADUN Bemban; Datuk Dr Wong Fort Pin; ADUN Ayer Keroh, Kerk Yee Chee, ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong, ADUN Klebang, Datuk Gue Teck dan ADUN Banda Hilir, Datuk Tey Kok Kiew pada 24 April lalu.
Difahamkan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka yang Ke-14 akan diadakan selama sehari sahaja.
Ini juga merupakan persidangan DUN yang pertama selepas krisis politik dan pertukaran kerajaan pada Februari lalu.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan juga, Pakatan Harapan Melaka terdiri daripada 11 ADUN termasuk ADUN Bukit Baru akan terus kekal di bawah blok pembangkang dan komited berkhidmat kepada rakyat dan negeri terutamanya dalam situasi wabak koronavirus (Covid-19).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!