Boleh bayar zakat fitrah di masjid
GEORGETOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan pungutan zakat fitrah dibuat di seluruh masjid di negeri ini mengikut beberapa syarat-syarat yang ditetapkan.
Pengarahnya, Zulkifli Long berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menggunakan kemudahan di masjid walaupun ketika ini semua masjid dan surau diarahkan tutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.
Bagaimanapun menurutnya, aktiviti pungutan zakat itu hanya dibenarkan dilakukan di kawasan parkir kenderaan (berkhemah), bilik kuliah atau dewan seminar, bilik pentadbiran dan bilik lain yang bersesuaian.
"Pihak masjid perlu memastikan dewan solat utama atau ruang solat sentiasa dikunci dan tidak membenarkan sesiapa mendirikan solat kecuali imam, bilal dan siak yang bertugas sahaja.
"Semua amil yang dilantik perlu mematuhi tatacara khas yang dikeluarkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) sepanjang menjalankan aktiviti pungutan zakat fitrah dengan memastikan keselamatan kesihatan diutamakan dan penjarakan sosial diamalkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Zakat fitrah Pulau Pinang RM7, RM16
Zulkifli berkata, amil zakat yang bertugas perlu menentukan hari yang bersesuaian untuk menjalankan aktiviti kutipan dan masa yang dibenarkan bermula 9 pagi hingga 7 malam.
Selain itu, katanya amil zakat perlu mendapatkan khidmat nasihat dari balai polis berhampiran sekiranya jumlah kehadiran pembayar zakat melebihi 10 orang dalam satu masa.
[ARTIKEL BERKAITAN] - ZPP buka kaunter pandu lalu
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan cadangan ZPP yang mahu wujudkan kaunter pandu lalu bagi memudahkan urusan pembayaran zakat sekiranya kawasan masjid tidak dapat digunakan.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali sebelum ini berkata, pihaknya juga mencadangkan agar kawasan luas seperti balai raya dan dewan serbaguna turut digunakan untuk membuat kutipan bayaran zakat sekiranya tempoh PKP dilanjutkan kelak.
Bagaimanapun, ZPP amat menggalakkan orang ramai membayar zakat melalui platform dalam talian seperti Snap N Pay, JomPay, QR Code Bank Muamalat Malaysia Berhad, perkhidmatan FPX melalui portal www.zakatpenang.com dan perbankan internet Maybank2u.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!