148 peniaga sahut cabaran berniaga dalam talian
KUALA NERANG - Kira-kira 148 peniaga yang berdaftar di daerah Padang Terap menyahut seruan kerajaan memanfaatkan kemudahan teknologi dengan memasarkan produk makanan dan minuman mereka dalam talian.
Pengerusi Rangkaian Anak-anak Padang Terap (Rapat), Datuk Seri Ghazali Ibrahim berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu juga membuka ruang terutamanya kepada anak-anak muda untuk mencari rezeki terutamanya sepanjang Ramadan tahun ini.
Menurutnya, peluang ini diberikan kepada rakyat Padang Terap untuk didedahkan kepada teknologi yang baru dengan membuat pesanan melalui aplikasi eDESA@Bazar selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan bagi mematahkan rantaian wabak covid-19.
"Saya menyeru kepada seluruh rakyat Padang Terap agar menggunakan khidmat aplikasi eDESA@Bazar untuk membuat sebarang tempahan makanan selari dengan saranan kerajaan yang mahu rakyat lebih banyak berada di rumah.
"Usah bimbang dengan khidmat penghantaran kerana setakat ini sudah ada 55 orang penghantar makanan yang berdaftar terdiri daripada anak-anak muda tempatan berasal dari daerah ini," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, usaha penghantaran menjadi dengan lebih cepat dan makanan yang dipesan akan sampai sehingga ke hadapan pintu rumah pelanggan selaras dengan moto mereka kerana penghantar makanan adalah anak tempatan.
Ulas Ghazali lagi, penghantar makanan juga diwajibkan mengamalkan langkah-langkah kebersihan seperti memakai penutup mulut dan hidung selain memakai sarung tangan semasa kerja-kerja penghantaran dilakukan.
"Hampir seluruh daerah Padang Terap mempunyai capaian internet dan saya percaya ia tidak menyukarkan penduduk untuk membuat tempahan atas talian walaupun kawasan ini terletak di luar bandar. Kita juga minta diadakan di dua tempat tumpuan iaitu di Kuala Nerang dan Naka," katanya.
Menurutnya, penduduk di daerah tersebut juga boleh mengakses di Facebook di Grup Bazar Online Padang Terap bagi mengikuti perkembangan semasa jualan dan usaha itu mendapat kerjasama dari Majlis Daerah Padang Terap, IPD Padang Terap, Pejabat Kesihatan Padang Terap dan DZ Media.
Sementara itu, seorang peniaga makanan nasi ayam hainan, laksa dan bihun sup, Siti Norbaidura Abd Aziz, 39 dari Kampung Barohkas berkata, perniagaan atas talian membuka lembaran baharu dalam perniagaannya kerana sebelum ini mengamalkan cara jual beli secara tradisional.
Menurutnya, bagaimanapun perkara tersebut membantu peniaga sepertinya untuk meneruskan kelangsungan hidup perniagaan mereka selepas perlu mengubah cara berniaga akibat PKP yang mengehadkan pergerakan orang ramai.
"Awalnya agak rasa janggal. Namun selepas mencuba aplikasi ini, nampaknya mudah dan kami boleh membuat persiapan makanan berdasarkan tempahan di atas talian sahaja," katanya.
Bagi seorang penghantar makanan, Badrul Hisham Arshad, 28, dari Kampung Labi Tualak berkata, usaha yang dilakukan Rapat dipuji kerana berjaya membantu anak muda sepertinya mendapatkan peluang pekerjaan di tempat tinggalnya sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!