Buntu fikir keperluan anak OKU

Nur Iman Najiha didukung ibunya Nurul Syahirah.
Nur Iman Najiha didukung ibunya Nurul Syahirah.
A
A
A

SUBANG - Sepasang suami isteri di Bandar Pinggiran Subang di sini, buntu memikirkan kos rawatan serta keperluan anak orang kurang upaya (OKU) mereka, Nur Iman Najiha Shahrin yang berusia lima tahun dan mengalami celebral palsy.

Nurul Syahirah Zulnaidi, 27, berkata, dia tidak dapat bekerja kerana terpaksa memberi sepenuh perhatian kepada anak kedua daripada tiga beradik itu sejak berusia dua bulan.

Wanita yang baru dua minggu melahirkan anak ketiga itu mempunyai anak sulung, Nur Aiman Fahmi Shahrin yang berusia enam tahun.

Katanya, perbelanjaan mereka sekeluarga kini bergantung kepada suami Muhd Faris Ithnin, 27, yang bekerja di sebuah kilang eletronik di Subang dengan gaji sebanyak RM1,300 sebulan.

"Wang itu jugalah kami bahagikan membayar sewa rumah sebanyak RM600 dan selebihnya digunakan untuk perbelanjaan dapur serta keperluan Nur Iman Najiha seperti lampin pakai buang dan susu khas yang keseluruhannya berjumlah RM 1,000 sebulan," katanya ketika ditemubual Sinar Harian.

Nur Iman Najiha
Nur Iman Najiha

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila kilang tempat suaminya bekerja terpaksa ditutup kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penerima zakat sejak Januari lalu itu berkata, sudah dua bulan dia tidak menerimanya mungkin kesukaran dalam tempoh PKP.

Artikel Berkaitan:

"Wang zakat kira-kira RM400 itu digunakan untuk membeli keperluan lampin pakai buang dan susu khas berharga lebih RM400 di sebuah farmasi di Subang.

"Kini kami juga terpaksa mencatu belanja dapur kerana tidak cukup dan perlu mendahulukan keperluan Nur Iman. Jika tidak kami terpaksa berhutang untuk mendapatkan keperluannya," katanya.

Nurul Syahirah berharap terus menerima zakat berkenaan kerana anaknya tidak dapat menerima makanan dan hanya minum susu menggunakan tiub khas yang dimasukkan melalui saluran hidung.

Katanya, dia berusaha menabung untuk keperluan anak-anak tetapi berharap ada pihak yang sudi membantu bagi meringankan beban keluarganya.

Sebarang bantuan untuk keluarga ini boleh disalurkan melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 10123-41-00012117-4 atas nama pemilik akaun Nurul Syahirah Zulnaidi @ Nur Iman Najiha Mohd Shahrin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!