Gangguan bekalan air di Marang
KUALA TERENGGANU - Hampir 5,000 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Marang mengalami gangguan bekalan air bermula semalam sehingga esok.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, ia susulan kerosakan pam di Loji Kepong Dua dan menyebabkan berlaku tekanan air rendah di sesetengah kawasan.
"Gangguan bekalan air melibatkan 26 kampung iaitu Taman Mas Murni, Kampung Bukit Mawi Kijing, Kampung Bukit Kemas Kelulut, Taman Rashidah, Kampung Gong Merawan, Kampung Alor Pak Bang, Taman Hidayah, Bandar Marang dan PAKR Darat Pak Chan.
"Selain itu, Batangan, Gong Tepah, Bukit Gasing, Seberang Marang, Kijing, Rhu Rendang, Rusila, Medan Jaya, Rhu Dua, Rhu Renggeh, Bukit Kor, Sentul Patah, Sungai Kerak, Rhu Muda, Undang, Mok Kemas dan Bukit Keruin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja membaiki kerosakan pada pam di Loji Kepong Dua sedang giat dijalankan dan dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya esok.
"Kami berharap semua pengguna bersabar dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang esok," katanya.
Jelas Atemin, pihaknya sudah menggerakkan tujuh lori tangki ke semua kawasan sejak petang semalam untuk kegunaan pengguna di kawasan terjejas.
"SATU telah mengeluarkan hebahan gangguan bekalan air itu melalui satu kenyataan rasmi dan berharap semua pengguna sedia maklum dan membuat persiapan, selain berjimat cermat ketika menggunakan air.
"Kita tahu keperluan pengguna pada waktu puncak ketika menyediakan juadah berbuka puasa dan sebagainya, sekali gus penyediaan air di tangki statik itu dijalankan lebih awal dan berterusan sehingga masalah ini selesai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!