Permohonan rentas negeri melalui aplikasi Gerak Malaysia
KUALA LUMPUR - Orang ramai yang terkandas di kampung ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mengemukakan permohonan secara atas talian melalui aplikasi Gerak Malaysia sekiranya hendak pulang ke kediaman masing-masing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, aplikasi ini boleh dimuat turun daripada Google Playstore, Apple App Store dan Huawei App Gallery.
Menurutnya, bagi mereka yang layak, permohonan boleh dibuat bermula 26 April (Ahad) bagi pergerakan antara negeri sebelum perlu dikemaskini pada 29 April (Rabu).
"Seterusnya, semakan status permohonan yang dibuat boleh disemak pada 1 Mei (Jumaat).
"Tempoh pergerakan antara negeri yang dibenarkan adalah antara 1 hingga 3 Mei dan pengguna jalan raya dikehendaki merancang perjalanan mereka mengikut syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Huzir berkata, bagi mereka yang menggunakan Lebuhraya PLUS adalah diingatkan bahawa tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R), surau akan ditutup dan tidak dibenarkan sebarang solat secara berjemaah di kawasan R&R termasuklah di dalam bangunan, kawasan lapang, tempat letak kenderaan dan lain-lain.
Katanya, hanya fasiliti tandas awam sahaja yang dibenarkan beroperasi.
"Kawasan tempat letak kenderaan hanyalah digunakan untuk tujuan rehat dan pengguna tidak dibenarkan keluar daripada kenderaan semasa dalam tempoh rehat kecuali untuk penggunaan tandas awam.
"Stesen minyak akan hanya beroperasi antara jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam di sepanjang lebuh raya. Selain itu, mereka juga dilarang melakukan aktiviti secara berkumpulan di dalam tempoh terbabit," katanya.
Tambahnya, semua kebenaran adalah melalui aplikasi Gerak Malaysia, namun bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi terbabit, permohonan bertulis boleh dibuat di balai polis berdekatan.
"Satu kenyataan media berhubung tatacara pendaftaran aplikasi ini akan dikeluarkan diikuti sidang media pada Rabu depan mengenai pergerakan mengikut negeri bagi memastikan perjalanan yang terlibat berjalan lancar serta teratur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!