Keluarga Pak Aq mohon maaf kepada Ebit Lew

Laporan Sinar Harian 24 April 2020
Laporan Sinar Harian 24 April 2020
A
A
A

ALOR SETAR - Keluarga Ishak Darus, 77, memohon maaf kepada Ustaz Ebit Lew yang terpaksa berhenti memberi bantuan kepada penduduk yang tidak berkemampuan secara langsung sebaik sahaja selesai membantu mereka.

Anak Ishak, Siti Nor Saadiahton, 25, berkata, mereka berasa bersalah apabila pendakwa terkenal itu terpaksa menghentikan usahanya selepas kisah kemiskinan keluarganya tular.

Menurutnya, mereka tidak menyangka pendakwah itu dipanggil memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman semalam sekali gus perlu berhenti memberi bantuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jika ustaz dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan ketika dalam usahanya membantu mengubah kehidupan kami 28 beranak tular di media sosial, kami mohon maaf.

"Kami telah menyusahkan dan menyebabkan usaha beliau membantu orang miskin dalam tempoh ini terhenti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Ustaz Ebit Lew mahu 'berehat'

Menurutnya, mereka sekeluarga turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana pendakwah itu tidak lagi dapat meneruskan usahanya membantu penduduk yang memerlukan.

Anak keenam dari 10 adik-beradik itu berkata, mereka berharap Ebit Lew dapat meneruskan usaha murninya itu kerana sambutan Ramadan memberi kehidupan baharu bukan sahaja dalam kehidupan mereka malah golongan miskin yang dibantu.

"Sebelum ini, kami tidak dapat berbuka puasa beramai-ramai dalam keadaan rumah lama di Lorong Gedebang yang sempit dan tidak selesa namun kini kehidupan kami lebih ceria," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka sekeluarga menghargai usaha Ebit Lew yang membantu mendapatkan rumah baharu yang lebih selesa selain menyalurkan bantuan lain.

"Kami juga amat berterima kasih kepada kerajaan negeri, ahli jawatankuasa Masjid Al-Irfan Derga, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), penduduk kampung dan badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu kami sekeluarga selama ini," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Ustaz Ebit Lew memohon maaf kerana tidak lagi dapat membantu orang ramai atas nasihat polis dan dipanggil memberi keterangan bagi memberi penjelasan mengenai kes tular di laman sosial.

Nama Ebit Lew hangat menjadi bualan selepas tampil membantu keluarga Ishak ataupun Pak Aq yang sebelum ini menjalani kehidupan dalam rumah usang dan sempit bersama 27 ahli keluarganya.

Ustaz Ebit berjaya memujuk keluarga berkenaan berpindah ke kediaman baharu berdekatan Taman Uda, di sini, selepas tinggal lebih 12 tahun di rumah uzur di Lorong Gedebang, di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!