Kawat duri sekitar Jalan Selayang Baru
SELAYANG - Kehadiran pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Selayang Baru sejak malam tadi terjawab selepas kawasan itu disenaraikan sebagai kawasan ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sebentar tadi.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan Selayang Baru mula jalani PKPD hari ini sehingga 3 Mei melibatkan enam parcel yang dikenal pasti.
Ia melibatkan Zon A (Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru) dan Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru)
ARTIKEL BERKAITAN: PKPD ketujuh di Selayang Baru
Selain itu, Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru), Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru) dan Zon F (Blok A, B dan C, Selayang Makmur).
Difahamkan, anggota ATM telah berada di kawasan itu sejak malam tadi berdasarkan perkongsian video penduduk di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Pagi ini, kelihatan kerja pemasangan kawat duri giat dilakukan di sepanjang jalan Selayang Baru berhampiran laluan ke Pasar Harian Selayang.
Kawasan itu kebanyakannya menempatkan rumah pekerja warga asing yang bekerja di kawasan Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya dimaklumkan perkara itu oleh Menteri Besar, Amirudin Shari lewat malam tadi.
"Saya minta penduduk bertenang dan patuh dengan segala arahan dikeluarkan. Saya akan pantau perkembangan dari semasa ke semasa melalui pusat gerakan operasi yang dibuka di sana.
"Saya harap tiada masalah dari segi pelaksanaan memandangkan sudah enam PKPD dilaksanakan sebelum ini, saya harap tiada masalah kekurangan bekalan makanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, pihaknya bersedia menyalurkan bantuan termasuk bekalan makanan jika diperlukan.
"Jika PKPD dilaksanakan pastinya dari segi kawalan dan kebajikan penduduk di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun pusat khidmat saya sedia membantu jika memerlukan pertolongan.
"Anggap ini ujian tambahan pula sekarang bulan Ramadan. Kita kena banyak bersabar dan tingkatkan amalan kepada ALLAH S.W.T serta muhasabah diri. Apa yang dilakukan kerajaan adalah bagi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!