Terima kasih Singapura bantu bawa pulang rakyat Malaysia dari Riyadh
KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menzahirkan ucapan terima kasih kepada Singapura atas bantuan membawa pulang 91 rakyat Malaysia yang terkandas di Riyadh, Arab Saudi.
Ini berikutan ketiadaan penerbangan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
"Terima kasih kerajaan Singapura atas budi baik menumpangkan rakyat Malaysia dari Riyadh ke Singapura menggunakan pesawat bantuan kemanusiaan Saudia Airlines yang dihantar untuk bawa pulang rakyat Singapura yang turut terkandas di Arab Saudi," katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook rasminya hari ini.
Hishammuddin berkata, kumpulan rakyat Malaysia itu selamat tiba di tanah air dari Singapura dengan menaiki pesawat Malindo Air pada Jumaat.
"Kita sedia maklum, ada lagi rakyat Malaysia terkandas di Arab Saudi termasuk kumpulan jururawat di Riyadh dan pelajar di Madinah. Saya harap semua kekal bertenang. Kita akan usahakan yang terbaik untuk bantu. Insya-ALLAH," tambahnya.
Semalam dilaporkan, lebih 400 rakyat Malaysia selamat tiba di Malaysia dari beberapa buah negara di Timur Tengah melalui proses membawa pulang yang dikendalikan Kementerian Luar, selepas terkandas.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!