Kucing Ashraf Sinclair mati rindukan tuan
INDONESIA - Kucing kesayangan Allahyarham Ashraf Sinclair yang diberi nama Toni mati semalam selepas lebih dua bulan pemergian tuannya.
Menerusi perkongsian di Instagram, penyanyi yang juga isteri Allahyarham Ashraf, Bunga Citra Lestari (BCL) memberitahu kucingnya itu tidak mahu makan dan menjadi lemah selepas suaminya meninggal dunia pada 18 Februari lalu.
“Kehadapan Toni, terima kasih kerana membawa keceriaan di rumah kami selama ini. Kucing paling pandai dalam rumah ini. Masa kegemaran awak apabila didukung (oleh) daddy sambil melihat cicak,” tulisnya pada hantaran berkenaan.
BCL menerusi kiriman yang sama juga berkata, Toni mengalami kesukaran untuk makan dan menjadi semakin lemah dari hari ke hari
“Tapi awak adalah pejuang sehingga awak tidak mampu (berjuang) lagi. Berehat dengan tenang Toni. Kami sayang kamu.
“Terima kasih (kerana) hadir dalam hidup kami. Awak akan dirindui. Sampaikan salam sayang kepada daddy di sana,” luahnya lagi.
Netizen juga turut bersimpati dengan berita berkenaan dan meninggalkan komen pada hantaran tersebut.
“2020 adalah sukar. Kekal kuat ya kak Unge,” komen Ahmad Abdul Life.
“Berehatlah dengan tenang Toni,” komen Audreytapiheru.
Hantaran berkenaan mendapat 846,776 tanda suka sejak semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Pelakon Ashraf Sinclair meninggal dunia
Pelakon Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair, 40, meninggal dunia 18 Februari lalu akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!