Pasar awam beroperasi sehingga 2 petang
KUANTAN - Operasi pasar awam di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang dilanjutkan sehingga jam 2 petang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu mengambil kira tindak balas kerajaan terhadap aduan daripada peniaga dan penjual daging yang berdepan masalah perniagaan bahan basah mereka.
"Mereka (peniaga) meminta tempoh ini dilanjutkan, ada peniaga daging khususnya bimbang apabila daging dilapah sebelah pagi setiap hari, tidak sempat dijual selewat-lewatnya pada 12 tengah hari.
"Jadi, pihak kerajaan ambil faktor itu bersetuju untuk melanjutkan operasi pasar awam daripada 7 pagi hingga 12 tengah hari kepada 7 pagi hingga 2 petang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, keputusan berkenaan menunjukkan responsif kerajaan terhadap aduan dan masalah yang dibangkitkan peniaga.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan operasi pasar awam bermula pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari termasuk Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!