Covid-19: Sikap penduduk zon hijau ambil mudah membimbangkan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sikap segelintir penduduk di zon hijau yang mengambil mudah situasi pandemik Covid-19 membimbangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM khuatir masyarakat mengambil mudah nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan kerana memikirkan bahawa wabak itu hampir selesai.
"Pada hakikatnya, peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini masih belum tiba ke
penghujungnya," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Justeru katanya, KKM menyeru masyarakat termasuk mereka yang berada di kawasan diisytiharkan
sebagai zon hijau supaya kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Virus Covid-19 adalah musuh kita bersama, namun harus diingatkan kelalaian dan sikap ambil mudah masyarakat adalah sekutu kepada virus ini," katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu memulakan normal baharu dengan mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter.
"Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun," katanya.
Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri memberitahu, pihak berkuasa telah menahan 386 individu yang ingkar PKP di seluruh negara menjadikan jumlah kumulatif tangkapan ingkar PKP sehingga semalam seramai19,434 individu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!