China, Amerika perlu hormati undang-undang maritim antarabangsa

 Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menggesa semua pihak agar menghormati garis sempadan perairan negara-negara ASEAN dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) setiap negara yang berada dalam lingkungan kawasan Laut China Selatan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pencerobohan mana-mana pihak di kawasan tersebut adalah dianggap sebagai mencabuli undang-undang maritim antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara.

Beliau berkata, Pas memandang serius laporan mengenai kapal penyelidikan milik China, Haiyang Dizhi 8 yang berada berdekatan dengan kapal penerokaan Petronas dipercayai berada di kawasan perairan Malaysia.

"Ia boleh dianggap sebagai satu usaha untuk menimbulkan intimidasi mahupun provokasi terhadap Petronas dan juga pencerobohan terhadap perairan Malaysia.

"Kerajaan China perlu melihat persahabatannya dengan negara-negara ASEAN sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan masalah secara diplomasi dan perundingan tentang tuntutan bertindih Laut China Selatan dan kepulauan di sekitarnya.

"Sebarang pertikaian berpanjangan dan konfrontasi tidak akan menguntungkan mana-mana negara dan pihak yang berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh demikian, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang meminta semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa yang telah dipersetujui dan ditetapkan sama ada oleh UN Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) dan juga keputusan timbang tara oleh International Court of Justice ( ICJ ) serta the International Tribunal for the Law of the Sea ( ITLOS ).

"Jika semua pihak mematuhi dan bertanggungjawab terhadap undang-undang dan juga keputusan yang ditetapkan, sebarang tuntutan bertindih mampu diselesaikan secara baik dan aman begitu juga pertikaian yang berpanjangan serta lebih buruk mampu dielakkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hadi berkata, Laut China Selatan dan kawasan kepulauan di sekitarnya perlu dikekalkan sebagai zon selamat dan bebas oleh semua pihak memandangkan ia adalah salah satu laluan perdagangan utama dunia, di samping kaya dengan hasil lautan seperti perikanan dan juga hasil minyak dan gas.

Menurutnya, sekiranya berlaku sebarang ancaman di perairan tersebut serta kawasan kepulauan di sekitarnya, ia bakal menjejaskan ekonomi dunia serta negara-negara di sekitarnya dan juga nelayan-nelayan yang bergantung kepada hasil laut untuk menampung keperluan ekonomi mereka.

"Kehadiran dua buah kapal perang milik Amerika Syarikat juga mampu memburukkan keadaan serta mungkin menimbulkan intimidasi kepada China.

"Perseteruan dua kuasa besar dunia antara Amerika Syarikat dan China tidak harus dibabitkan ke pentas ASEAN memandangkan negara-negara ASEAN mengamalkan sikap saling menghormati hak, diplomasi dan perundingan dalam mengekalkan keamanan serantau.

"Berpadalah dengan ancaman wabak Covid-19 yang kini perlu dihadapi dengan sebaiknya oleh semua negara. Ancaman nyawa dan ekonomi rakyat terbanyak wajar diberi keutamaan oleh semua pihak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!