Dua penyelaras AMANAH jaga kawasan ADUN lompat
PARIT BUNTAR - Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Parit Buntar melantik dua individu sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan DUN Titi Serong dan DUN Kuala Kurau.
Ketua Komunikasinya, Hairul Nizam Ishak berkata, Mohd Adnan Razali dilantik sebagai penyelaras DUN Titi Serong manakala Hamdan Fadel Ahmad pula dilantik sebagai penyelaras DUN Kuala Kurau.
Beliau berkata, pelantikan tersebut dibuat susulan dua Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut iaitu Hasnul Zulkarnain Abd Munaim serta Datuk Abdul Yunus Jamahri bertindak keluar parti.
"Kedua-dua penyelaras DUN ini akan membantu gerak kerja Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar yang diwakili Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
"Mereka juga akan membantu menyelaraskan khidmat masyarakat terutama aspek kebajikan serta mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Hairul Nizam berkata, pelantikan kedua-dua penyelaras yang berkuat kuasa 23 April lalu itu diharap mampu menggalas tanggungjawab dan menjalankan amanah dengan berkesan kepada rakyat.
Pada 9 Mac lalu, Perikatan Nasional yang menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas menerajui pentadbiran kerajaan Perak selepas tumbangnya Pakatan Harapan di negeri itu.
Susulan itu, Abdul Yunus yang merupakan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak menyertai Bersatu manakala Hasnul Zulkarnain keluar daripada Amanah menjadi wakil rakyat bebas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!