Kes syariah perlu selesai dalam tempoh enam bulan

Wan Mohd Zakri (kanan) bersama Yahaya (dua, kanan) ketika hadir dalam pertemuan di JKST, di sini, semalam.
Wan Mohd Zakri (kanan) bersama Yahaya (dua, kanan) ketika hadir dalam pertemuan di JKST, di sini, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hakim Mahkamah Syariah Terengganu diberi tempoh selama enam bulan bagi menyelesaikan setiap kes perbicaraan.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, ia sebagai sistem petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST).

"Hakim syarie terlibat perlu memberi penjelasan secara bertulis sekiranya gagal menyelesaikan kes dalam tempoh itu.

"Beberapa perkara lain diambil kira antaranya hakim bertanggungjawab tidak dibebani perkara remeh dan setiap kes yang ingin dibicarakan perlu betul-betul bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertemuan bersama Yang Dipertua Dun, Yahaya Ali, semalam.

Menurut Wan Mohd Zakri, perjalanan sesuatu kes memakan masa yang lama disebabkan beberapa faktor.

"Perjalanan kes memakan masa sehingga dua hingga tiga tahun antaranya disebabkan surat saman, gagal mendapatkan kerjasama pesalah serta kegagalan pengadu membawa saksi yang sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya merancang untuk melihat secara keseluruhan bentuk hukuman kerana disifatkan masih ringan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia bukan hanya melibatkan tempoh penjara malah kajian terhadap jumlah sebatan.

"Kita akui hukuman sedia ada terhadap pesalah syariah agak ringan sehingga mendorong pesalah melakukan kesalahan sama.

"Tetapi, apabila kami mengambil tindakan tegas dengan mengenakan hukuman sebatan, ada segelintir individu menyatakan hukuman itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Namun, situasi ini tidak menjejaskan reputasi kami dalam menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan terhadap pesalah, “ katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zakri berkata, hukuman dibawah Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 perlu dipercepatkan.

“Hukuman dibawah RUU 355 dilihat amat memadai dengan setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!