Polis naik 'scrambler' pantau pesisir pantai

Foto FACEBOOK IPD HILIR PERAK

Keupayaan motosikal scrambler melalui laluan sukar dan sempit membantu tugas polis dalam Ops Covid-19.
Keupayaan motosikal scrambler melalui laluan sukar dan sempit membantu tugas polis dalam Ops Covid-19.
A
A
A

BAGAN DATUK - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menggunakan motosikal lasak atau 'scrambler' bagi menjalankan rondaan Ops Covid-19 di sekitar pesisir pantai di Bagan Datuk semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, penggunaan motosikal 'scrambler' itu mampu meningkatkan kemampuan anggota melaksanakan tugas pemantauan memandangkan keupayaannya merentasi lorong sempit dan laluan sukar yang tidak boleh dilalui motosikal biasa.

"Enam motosikal digunakan bagi tujuan rondaan ini bermula dari Hutan Melintang dan melalui kawasan Rungkup hingga ke Bagan Datuk sejauh lebih 60 kilometer.

"Fokus kita untuk meninjau lokasi dan laluan yang mungkin digunakan pendatang asing menceroboh masuk ke negara ini," katanya.

Rondaan diketuai sendiri Mohd Marzukhi itu disertai empat pegawai kanan dan seorang pegawai rendah polis bermula sekitar jam 2 petang hingga 7 malam.

Menurutnya, setakat ini, polis berjaya mengenalpasti beberapa lokasi yang berkemungkinan bagi tujuan ini.

"Kawalan dan rondaan secara berkala akan dilaksanakan di kawasan itu oleh pihak polis," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama penduduk terutama pengusaha bot dan nelayan di sekitar kawasan itu untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Jika ternampak bot atau individu yang mencurigakan, boleh terus berhubung dengan pihak polis di talian 24 jam di 05-629 9057," katanya.