Ramadan yang sepi
RAMADAN kali ini disambut sangat berbeza kerana sekurang-kurangnya sehingga 12 Mei kelak kita akan berpuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Sebenarnya al-Quran diturunkan dalam bulan ini yang menjadi petunjuk sekalian alam manakala al-Hadith menyempurnakan ajaran di dalam al-Quran. Dalam keadaan apa sekalipun umat Islam wajib mencari penyelesaian bersandarkan al-Quran dan al-Hadith. Penyelesaian sesuatu perkara sebenarnya telah pun digarap oleh al-Quran. Cuma manusia sahaja yang gagal membongkar rahsia al-Quran ini. Ayat-ayat al-Quran yang tersurat dan tersirat perlu dihayati dan diaplikasi dalam kehidupan seharian bagi menzahirkan ketaatan dan kepatuhan umat Islam kepada Yang Maha Pencipta.
Kesusahan akan diakhiri dengan kesenangan, itulah yang dijanji al-Quran bagi peringatan kepada kita semasa Covid-19 ini.
Al-Quran menggariskan batas sempadan di antara yang halal dan yang haram. Ia menjelaskan tindakan yang boleh dilakukan dan tindakan yang dilarang. Al-Quran juga mengajar segala bentuk ilmu dan merupakan manual hidup yang paling sempurna dan lengkap bukan sahaja bagi orang Islam begitu juga orang bukan Islam, malah bukan sahaja kepada manusia tetapi kepada seluruh alam. Al-Quran juga memberi jaminan kepada manusia memperoleh suatu kehidupan yang seimbang dan sempurna.
Al-Quran sebenarnya memiliki pelbagai sifat yang menarik. Antaranya ialah cahaya (nur) seperti dalam Surah Al Tagabun ayat 8, petunjuk (huda) seperti dalam Surah Al Baqarah ayat 2, rahmat (rahmah) seperti dalam Surah Al A’raf ayat 203, penyembuh (shifa’) seperti dalam Surah Yunus ayat 57, pembawa perkhabaran gembira (basher) seperti dalam Surah Al Fushilat ayat 4, pemberi peringatan (nadzir) seperti dalam Surah Al Furqan ayat 1, penerangan (mau’izah) seperti dalam Surah Aali Imran ayat 138, keberkatan (mubarak) seperti dalam Surah al-Anbiyaa' ayat 50 dan nyata (mubin) seperti dalam Surah Al Naml ayat 1.
Kesempurnaan al-Quran boleh dilihat dalam Surah al Baqarah yang menyatakan tidak ada sebarang syak pada al-Quran dan menjadi petunjuk kepada orang bertakwa. Namun sekiranya al-Quran itu diabaikan, amaran yang diberikan amatlah dahsyat.
Dengan keunikan dan kesempurnaan al-Quran itu, sudah tentu al-Quran yang merupakan manual lengkap umat Islam wajar diletakkan di tempat tertinggi dalam sistem kenegaraan Malaysia yang mempunyai majoriti umat Islam. Malah susur galur sejarah juga telah meletakkan al-Quran dan al Sunnah sebagai teras kepada perundangan Islam di Malaysia.
Namun di sebalik keberkatan Ramadan, tahun ini ia sangat sepi. Sepi daripada pelbagai ibadah dan kelaziman yang dilakukan pada bulan Ramadan seperti pergi ke bazar Ramadan, berbuka puasa di masjid, solat tarawih berjemaah dan lain-lain. Semuanya disebabkan PKP angkara Covid-19.
Persoalannya apabila masjid dan surau ditutup apakah keberkatan Ramadan tahun ini berkurangan?
Sesungguhnya tidaklah berkurang keberkatan itu tetapi kita umat Islam mestilah bijak melakukan amalan tidak seperti lazimnya. Semua ibadat masih boleh dilakukan di rumah di samping melatih diri menjadi ketua atau imam. Inilah hikmahnya kita terpaksa duduk di rumah. Pasti ada sesuatu yang ALLAH SWT mahu ajar kita dengan pandemik Covid-19. ALLAH SWT tidak akan menguji kita dengan ujian yang tidak mampu kita lalui. Ramadan bukanlah diukur daripada meriahnya orang Islam melaksanakan amal ibadat tetapi keikhlasan kita melakukannya. Parameter yang digunakan bukan semata-mata amalan di hadapan orang ramai tetapi iltizam kita melakukannya.
Ramadan merupakan madrasah bagi umat islam mendidik jiwa, menyemai keikhlasan dan membenih keinsafan. Jika dengan ujian pandemik Covid-19 dan latihan madrasah Ramadan kita masih tidak mengambil pengajaran, jadilah kita orang yang rugi.
Walaupun Ramadan kali ini agak sepi, mudah-mudahan ia berjaya membentuk peribadi mulia pada hari lebaran dan seterusnya.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!