Kaya miskin pemikiran penulis
GELOMBANG sastera dikatakan ada pasang surutnya dan kayu ukur apakah yang boleh kita terima pakai untuk menentukan pasang surut sesebuah karya sastera tersebut? Adakah dari segi bilangan jumlah penerbitan dalam ruang jangkauan perbandingan tahun atau dari segi jualan naskhah karya tersebut menentukan dunia sastera semakin pasang atau surut?
Berbanding tahun-tahun 1980-an atau 1990-an, dunia kini menyaksikan dunia sastera semakin melahirkan ramai penulis pemula tanpa mengira kelompok usia. Namun persoalannya, dalam kebanjiran penulis sama ada dalam genre novel, cerpen mahupun puisi ini, sejauh manakah pemikiran yang ingin disampaikan dalam karya tersebut sampai kepada khalayak pembaca?
Sebagai penggiat sastera, penulis seharusnya menelaah lebih jauh lagi tentang serba-serbi dunia kesusasteraan yang identik dengan karya tulis, pemahaman, dan keselarasan di mata para pecintanya khususnya pembaca.
Namun, kadangkala soal ini dipandang ringan dan penggiat sastera sendiri gagal menyelami segala bentuk sastera melalui horizon kepelbagaian sudut pandang. Misalnya, dengan membaca sebuah buku puisi, belum tentu isi naskhah tersebut benar-benar boleh dikatakan puisi kerana puisi-puisi gaya sohor kini yang lebih popular di media sosial rata-ratanya lebih berbentuk curahan atau luahan perasaan.
Maksudnya di sini, puisi yang dibina dilontarkan begitu sahaja secara polos tanpa mengambil kira aspek pemilihan dan pemaknaan diksi atau majas metafora yang harus disesuaikan denga isi pemikiran puisi tersebut.
Al-Hafiz Puisi, Profesor Datuk Rahman Shaari mengatakan puisi ialah bahasa yang berada di tingkat kedua. Kata-kata ini membawa makna yang pasti dipertanyakan, mengapakah ‘tingkat kedua’? Apakah maksudnya?
Dikatakan ‘tingkat kedua’ kerana makna yang disampaikan oleh penyair bukan makna literal. Makna yang literal, baik makna dalam perbualan biasa mahupun makna yang diterbitkan dalam wacana ilmiah, ialah makna tingkat pertama. Makna tingkat pertama lebih senang difahami berbanding tingkat kedua yang memerlukan pembaca menyelami pemilihan kata atau diksi dalam puisi untuk memahami apakah pemikiran atau maksud yang ingin disampaikan. Sekiranya pembaca mampu memahami makna imajis yang terdapat dalam sajak, ini akan memberikan citra-citra yang berkesan terhadap kekuatan sajak-sajak berkenaan.
Dalam era 1960-an dan 1970-an, sastera cenderung dikenal dengan sajak-sajaknya yang sangat berbau realitis, dinamis dan kritis. Bilah-bilah bahasa yang digunakan juga agak berani dan tajam.
Contohnya, sajak-sajak T. Alias Taib dan dan Latiff Mohidin. Sajak-sajak mereka sarat dengan keintelektualan, kaya akan imaginasi, diksi puitika serta ragam kebahasaan yang padat dengan pemaknaan.
Ketelitian dan pemikiran Latiff Mohidin dalam memaknakan puisi sendiri boleh dilihat dengan jelas apabila menanggapi proses membina puisi itu seperti membina sumur perigi di tanah gersang, bukan membina jambatan atau khemah. Perigi dibina dengan susunan batu-batu, selapis demi selapis, sehinggakan menjadi perigi yang kukuh dan elok buatannya. Mungkin di situlah nanti, si pengembara jalanan akan singgah sebentar melepaskan dahaganya; meneguk, menghirup air sepuas-puasnya, semahunya atau mungkin juga tidak!
Nah! Membaca takrifan tentang puisi oleh Latiff Mohidin memberikan ruang persolan dan cakupan pemikiran yang besar untuk kita tafsirkan kembali. Puisi yang baik akan memberikan kesan dan manfaat kepada khalayak pembaca dan begitulah sebaliknya. Kaji selidik oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada 2014 menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua belas buah buku setahun secara purata. Rakyat Jepun dan Perancis membaca empat belas buku, manakala Rakyat Amerika dan Kanada paling hadapan dengan tujuh belas buku setahun.
Jika data ini sememangnya digunakan untuk menonjolkan tahap keilmuan dan pendidikan rakyat sesebuah negara sudah pasti negara kita berada pada tahap yang cukup rendah dan terkebelakang. Situasi ini sebenarnya amat merisaukan kita, kecenderungan pembaca memperlihatkan pilihan lebih kepada buku-buku berbentuk bacaan ringan dan santai berbanding buku-buku genre kesusasteraan seperti novel, cerpen waima puisi.
Ini menonjolkan persepsi seolah-olah masyarakat di negara kita semakin tidak berminat membaca bahan-bahan dalam konteks acuan pemikiran sebegini walaupun diperkatakan melalui karya-karya sastera inilah yang akan membina ketamadunan bangsa dan jati diri negara. Acuan abad ke-21 yang sibuk membicarakan tentang revolusi industri 4.0 turut sama mengalih pemikiran pembaca yang lebih senang mengakrabi bahan-bahan bacaan digital yang lebih bersifat mesra khalayak seperti bahan-bahan bacaan daripada akhbar dalam talian dan laman web di telefon bimbit.
Dalam lima kemahiran pekerja abad ke-21 sendiri meletakkan kemahiran teknologi maklumat merupakan salah satu daripada keperluan Revolusi Industri 4.0 di samping kemahiran-kemahiran lain.
Berbicara tentang fenomena sastera dalam kalangan penulis dan penikmatnya memberikan pelbagai pandangan. Ada yang berpendapat sastera-sastera baharu lebih berkualiti dan kreatif dengan menggunakan objek dan subjek yang tidak lagi terikat dalam lingkungan alam sekitar semata-mata. Puisi-puisi mereka juga dikatakan lebih berani dan menggunakan pendekatan sains menulis puisi berbanding penyair terdahulu yang terikat dengan seni menulis puisi semata-mata. Tidak perlu untuk menyebut nama anak-anak muda ini, namun keberhasilan dan kejayaan pemikiran mereka ini dapat dilihat apabila kelompok anak muda ini telah mula menggungguli hadiah-hadiah sastera peringkat negeri dan kebangsaan.
Aspek pemikiran dalam sastera merupakan entititi yang mahapenting dalam menentukan sesebuah karya sastera itu bermutu atau tidak. Membaca sesebuah karya sastera bukan sekadar membaca susunan bahasa dalam buku tersebut tetapi juga membaca kaya atau miskin pemikiran si penulis.
*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Kehormat, Persatuan Penyair Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!