RSNPP 2030 diwartakan sebelum Jun ini
GEORGETOWN - Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030) dijangka akan diwartakan sebelum pertengahan tahun ini selepas tempoh untuk bantahan awam dilanjutkan selama dua bulan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sebelum ini, draf itu dibuka untuk penyertaan awam bagi memberi peluang kepada pihak luar untuk memberi input, maklum balas dan cadangan mengenai rancangan tersebut.
Namun, Jagdeep berkata, tempoh penyertaan itu telah tamat pada November lalu namun dilanjutkan sehingga Februari ini.
"Penyertaan awam telah dibuka bermula September hingga November tahun lalu namun kerajaan negeri masih mahu beri peluang kepada orang awam, badan bukan kerajaan dan jabatan atau agensi kerajaan bagi menyatakan bantahan atau cadangan mereka sehingga Februari ini.
"Selepas itu, Jawatankuasa Bantahan Awam akan kumpul semua maklum balas, kritikan atau idea yang ada dan akan serahkan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) untuk membuat keputusan. Kita berharap agar RSNPP 2030 ini dapat diwartakan sebelum pertengahan tahun ini," katanya kepada media tadi.
Jagdeep berkata, draf RSNPP 2030 merupakan satu dokumen kajian semula terhadap RSNPP 2020 yang telah diwartakan sebelum ini iaitu pada bulan Jun 2007.
"Pada peringkat pertama, ia bermula pada November 2011 hingga Oktober 2012 yang melibatkan penyediaan asas rujukan kajian semula RSNPP 2020 serta penyediaan laporan awal. Sementara itu, di peringkat kedua, ia mengambil masa empat tahun iaitu Oktober 2012 hingga Mei 2016.
"Ia bagi menjalankan kajian semula dan penyediaan laporan tinjauan RSN, publisiti laporan tinjauan dan cadangan awal RSNPP diadakan dan penyataan hasil publisiti laporan tinjauan RSN," katanya.
Tambahnya, RSNPP 2030 sudah memasuki peringkat ketiga yang bermula Mei 2016 iaitu penyediaan laporan bantahan awam.
"Selama tempoh bantahan awam sehingga November tahun lalu, kita menerima 501 borang iaitu 347 dari orang awam yang terdiri dari 272 petani; 24 dari syarikat (pemaju); tujuh dari jabatan atau agensi kerajaan, 13 dari badan bukan kerajaan dan 110 dari Facebook.
"Antara isu yang mendapat maklum balas bantahan adalah Pelan Induk Pengangkutan Awam (PTMP) sebanyak 63 borang; Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) sebanyak 48 borang, tanah pertanian (272), banjir (27) dan unjuran penduduk (25)," katanya.
Jagdeep berkata, kerajaan negeri telah menyiapkan fasa maklum balas awam selepas mempamerkan kepada umum dalam tempoh September hingga November tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!