Tak pamer tanda harga, tiga premis dikompaun RM1,000
KUALA LUMPUR - Tiga premis sekitar kawasan Ukay Perdana, Ampang dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor semalam.
Tindakan itu diambil di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 selepas premis terlibat didapati gagal mempamerkan tanda harga khususnya bagi barangan kawalan seperti minyak masak, gula dan tepung gandum.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, menerusi aduan diterima orang awam sebelum ini, sepasukan anggota telah digerakkan ke kawasan berkenaan sekitar jam 11 pagi semalam bagi menjalankan siasatan berhubung kes itu.
"Aduan yang diterima ini adalah terhadap kedai-kedai runcit di sekitar kawasan berkenaan berkaitan harga barangan mahal dan kegagalan mempamerkan tanda harga.
"Hasil siasatan mendapati peniaga ini sememangnya tidak mempamerkan tanda harga seperti aduan yang disalurkan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zikril berkata, peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga dikhuatiri akan cuba mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah.
Beliau berkata, KPDNHEP sebelum ini juga sudah membuat banyak hebahan menerusi media massa bagi memberi amaran kepada semua peniaga agar mempamerkan tanda harga pada barangan jualan masing-masing namun masih ada pihak yang berdegil.
"Maka oleh sebab itu, kami terpaksa mengambil tindakan tegas ini supaya kesalahan yang sama tidak dilakukan oleh peniaga terlibat," katanya.
Katanya, pihaknya juga turut memberikan amaran tegas kepada semua peniaga agar dapat mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan khususnya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"KPDNHEP Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!