Everton kecewa tindakan Kean
Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton kecewa dengan penyerangnya Moise Kean, yand didapati melanggar peraturan lockdown apabila mengadakan parti di pangsapurinya baru-baru ini.
Menerusi kenyataan rasmi kelab berkenaan, penyerang kelahiran Itali itu dikesan mengadakan parti berkenaan apabila memuat naik foto termasuk rakaman video dipercayai daripada parti berkenaan di media sosial termasuk di grup snapchat peribadinya.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan Kean itu secara keseluruhannya didapati telah melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutamanya berhubung dengan penjarakan sosial dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
“Kami di Everton kecewa dengan insiden itu, apatah lagi apabila pemain skuatd utama kami didapati ingkar dengan arahan serta peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
"Kami juga kecewa dengan pemain itu (Kean) dan menyifatkan perbuatannya itu tidak boleh diterima kerana kami telah menjelaskan kepada pemain, staff serta pegawai pasukan,” menurut kenyataan berkenaan.
Kean, 20, tiba di Everton pada musim panas lalu dari Juventus dengan status selaku antara pemain berrbakat besar dalam saingan Serie A.
Dia dilaporkan telah meledak tujuh gol biarpun hanya beraksi selama 661 minit bersama Juventus bagi saingan usim 2018-2019.
Bagaimanapun, Kean dilihat berdepan kesukaran beraksi di EPL apabila sekadar menjaringkan satu gol disebalik 26 penampilan bersama skuad Tofees itu.
Sementara itu menurut kenyataan itu lagi, tindakan Kean itu secara keseluruhannya dilihat telah menafikan kerja keras daripada kakitangan perkhidmatan kesihatan (NHS), yang selama ini bertungkus lumus bekerja dan berkorban sejak pandemik Covid-19, di seluruh dunia.
“Kakitangan NHS berhak menerima pujian atas segala kerja keras serta pengorbanan mereka selama ini.
“Cara terbaik untuk menyatakan pujian berkenaan kepada mereka (NHS) adalah dengan mematuhi segala arahan yang diberikan,” menurut kenyataan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!