Banduan Penjara Sungai Petani hasilkan PPE
SUNGAI PETANI - Seramai 10 banduan muda di Penjara Sungai Petani menghasilkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk disumbangkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Pengarah Penjara Sungai Petani, Penolong Komisioner Penjara Nazri Mohamad berkata, projek yang dimulakan sejak 21 April disertai banduan berusia antara 17 hingga 20 tahun dengan dibantu 10 kakitangan penjara wanita.
Menurutnya, setakat hari ini sebanyak 300 PPE berjaya disiapkan dan akan diserahkan kepada petugas HSAH dalam masa terdekat.
"Dalam sehari, banduan terlibat berjaya menyiapkan 40 hingga 60 set PPE berpandukan contoh yang diberikan oleh pihak HSAH Sungai Petani selain bimbingan tenaga pengajar," katanya.
Katanya, projek menghasilkan PPE ini dijadikan sebagai pembakar semangat kepada banduan untuk menyumbang sesuatu di saat negara berdepan situasi sukar menangani wabak koronavirus (Covid-19).
"Diharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam memerangi wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!