Rangka manusia dalam longkang tengah lebuh raya
NILAI - Mayat seorang lelaki yang reput dan tinggal rangka ditemui di dalam longkang di Kilometer 281.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mayat lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an dan beralamat di Durian Tunggal Alor Gajah, Melaka itu ditemui orang awam jam 12 tengah hari.
Menurutnya, mayat mangsa yang ditemui terlentang di dalam longkang di tengah lebuh raya berkenaan masih lengkap berpakaian kemeja-T, seluar panjang warna hitam dan bertopi keledar.
"Turut ditemui di sisi mangsa satu beg galas dan beg pinggang warna hitam, bagaimanapun tiada kenderaan ditemui berhampiran dengan tempat kejadian.
"Hasil siasatan pasukan forensik di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata dan kita percaya tiada unsur jenayah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Nor Marzukee berkata, pemeriksaan lanjut di dalam beg pinggang mangsa menemui kad pengenalan, lesen memandu dan wang tunai lebih kurang RM150.
"Punca kematian mangsa belum dapat dipastikan dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk di bedah siasat," katanya.
Katanya, keluarga mangsa yang dihubungi mengatakan kali terakhir melihat mangsa pada 23 Mac lalu ketika keluar dari rumah menaiki motosikal untuk berjumpa kawan di KL.
"Keluarga mangsa juga ada membuat laporan polis berkenaan kehilangannya sebelum ini.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!