Mahkamah Syariah di Pahang dibenar bersidang ikut syarat JKSP
KUANTAN - Mahkamah Syariah di negeri ini dibenarkan bersidang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada syarat dan tatacara ditetapkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (JKSP).
Keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang berkuatkuasa serta-merta itu bagi membolehkan umat Islam di negeri ini berurusan dengan mahkamah itu berkaitan perbicaraan dalam tempoh PKP ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan kepada syarat dan tatacara yang ditetapkan, persidangan mahkamah hanya dilakukan pada Isnin sehingga Khamis bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.
Menurutnya, hanya tiga kes sahaja ditetapkan untuk sesi pendengaran setiap hari dan keutamaan bagi kes-kes pengesahan lafaz cerai, nafkah anak, nafkah isteri, hadhanah yang dipersetujui kedua-dua pihak.
"Turut dipertimbangkan kes bagi permohonan wali hakim dan permohonan kebenaran nikah bawah umur.
"Mahkamah yang terlibat adalah Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Temerloh, Bentong, Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Temerloh, Bentong, Pekan dan Rompin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, hanya pihak-pihak berkenaan termasuk seorang hakim dan pendaftar, pembantu syariah, pegawai bahagian kewangan,seorang anggota polis dan peguam syarie yang dilantik sahaja dibenarkan hadir.
"Pihak berkenaan perlu mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah pencegahan di tempat kerja termasuk berada pada tahap kesihatan yang baik, membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk mahkamah dan menjalani pemeriksaan suhu badan.
"Selain itu, menjaga penjarakkan sosial antara satu sama lain pada kedudukan satu meter dalam kawasan mahkamah termasuk di dewan perbicaraan dan memakai topeng muka," katanya.
Wan Rosdy berkata, ruang tempat kerja, dewan bicara, kamar hakim, bilik sulh pejabat perlu dinyahkuman atau disinfeksi di permukaan yang mudah dicemari kuman.
"Saya berharap syarat-syarat dan tatacara disediakan ini dipatuhi sepenuhnya demi keselamatan dan kesihatan mereka yang terlibat selain bagi menjayakan usaha membendung penularan koronavirus (Covid-19) ketika ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!