Peniaga positif Covid-19: Pasar Pagi Taman Megah ditutup sementara
DAMANSARA - Pasar Pagi Taman Megah ditutup sementara susulan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama menerima satu laporan kes positif koronavirus (Covid-19) melibatkan seorang peniaga sayur di pasar berkenaan.
ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menerusi laman Facebooknya memaklumkan, pejabatnya telah menerima laporan terdapat satu kes positif Covid-19 di Pasar Pagi Taman Megah.
"Mangsa yang disahkan positif Covid-19 merupakan salah seorang peniaga sayur di pasar tersebut.
"Buat masa ini, Pasar Pagi Taman Megah ditutup dan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang melakukan operasi pembersihan dan pembasmian kuman di Pasar Taman Megah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, para peniaga yang lain juga dinasihatkan untuk menjalani ujian pengesahan Covid-19 di hospital.
"Pejabat saya masih belum menerima apa-apa maklumat lain kerana ia masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan arahan akan dikeluarkan oleh KKM sendiri sekiranya terdapat sebarang tindakan yang perlu diambil.
"Pada ketika ini, keluarga dan pihak-pihak yang mempunyai kontak dengan mangsa juga sedang dihubungi dan disiasat sekiranya mereka juga perlu menjalani ujian di hospital," katanya.
Menurutnya, para pengunjung yang berurusan di Pasar Pagi Taman Megah juga diharap dapat menjalani ujian pengesahan Covid-19 di hospital terutama mereka yang mempunyai simptom-simptom seperti, demam, batuk, selesema dan lain-lain.
"Kurangkan pergerakan yang tidak penting supaya kita semua dapat bersama-sama membantu pihak KKM dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!