Enam penjaja degil berniaga di bahu jalan dikompaun

Anggota penguatkuasa MBAS mengangkut peralatan niaga yang disita dalam Ops Penjaja Ramadan di Bandaraya Alor Setar dan Pokok Sena semalam.
Anggota penguatkuasa MBAS mengangkut peralatan niaga yang disita dalam Ops Penjaja Ramadan di Bandaraya Alor Setar dan Pokok Sena semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai enam penjaja dikompaun oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kerana menjalankan perniagaan di bahu jalan di sekitar bandaraya Alor Setar dan Pokok Sena semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa MBAS, Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, enam penjaja berkenaan antara 11 peniaga yang dikompaun dalam Ops Penjaja Ramadan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, operasi itu dilakukan kerana masih terdapat penjaja yang ingkar walaupun pihaknya sudah mengeluarkan arahan sebelum ini.

"Kita tidak membenarkan penjaja menjalankan perniagaan di bahu jalan atau di tempat awam dikhuatiri boleh menyebabkan orang ramai berkumpul di kawasan tersebut sekali gus menyukarkan kawalan oleh pihak berkuasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Syaher berkata, Ops Penjaja Ramadan semalam mengambil tindakan terhadap 37 penjaja dan lima premis di tiga kawasan iaitu Kuala Kedah, Pokok Sena dan Alor Setar.

"Keseluruhannya, kita menyita peralatan niaga 21 penjaja dan 11 mereka dikompaun mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mereka didapati ingkar dengan arahan ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang penjaja berniaga pada Ramadan, namun mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan termasuk memastikan penjarakkan sosial.

"Kita akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan premis berkenaan tidak mengulangi kesalahan dilakukan, malah akan menutup premis sekiranya dikesan masih berdegil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing atau tempahan makanan secara dalam talian untuk memudahkan urusan pembelian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!