Pantau pekerja asing elak kluster baharu
BUKIT MERTAJAM - Kerajaan digesa memantau pekerja asing dengan lebih ketat bagi mengelak wujudnya kluster baharu di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, hasil tinjauan dilakukan pihaknya mendapati pekerja asing yang dibenarkan bekerja tidak mematuhi peraturan seperti penjarakan sosial selain tinggal bersesak dalam asrama.
Menurutnya, ini termasuk tidak menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) untuk melindungi pekerja asing dan orang awam.
"Setakat ini, tiada pekerja asing yang saya temui dalam lawatan ke asrama pekerja asing menjalani ujian Covid-19.
"Sudah ada kilang-kilang beroperasi semula di Pulau Pinang kini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Hsiao Leung berkata, tinjauan ke asrama pekerja asing di Taman Perwira mendapati sekurang-kurangnya tujuh buah bas kilang yang membawa pekerja asing tidak mempraktikkan penjarakan sosial ketika beratur menaiki bas, malah pekerja duduk berdekatan antara satu sama lain.
"Garis panduan pematuhan jarak fizikal pekerja tidak dipatuhi, mereka bebas bergaul dengan pekerja lain di unit lain dan bersesak di asrama.
"Terdapat asrama dihuni 80 pekerja dan berkongsi satu dapur memasak, sedangkan di Singapura, amalan ini dilarang sejak jangkitan serius pekerja asing," katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya lewa walaupun kes jangkitan tempatan makin rendah sebaliknya perlu menugaskan pelbagai agensi kerajaan seperti polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan kawalan memantau syarikat yang dibenarkan beroperasi melibatkan pekerja asing.
"Kita bimbang sekiranya berlaku wabak jangkitan serius kalangan pekerja asing seperti di Singapura, di mana mereka mempunyai lebih 8,000 kes jangkitan pekerja asing," katanya.
Hsiao Leung berkata, terdapat lebih 150,000 pekerja asing berdaftar di Pulau Pinang dan sekitar 10,000 daripadanya merupakan sebahagian daripada keseluruhan di Bukit Tengah.
Pada 18 April, kerajaan mengumumkan akan melakukan ujian massa pekerja asing secara besar-besaran.
Ketika itu dilaporkan lebih 600 orang asing dari Indonesia, Filipina, Bangladesh, India dan Pakistan dijangkiti di Malaysia.
Sehubungan itu, Hsiao Leung berharap kerajaan memperjelaskan tindakan lanjut selepas pengumuman berkenaan.
"Berapa ramai telah diuji, berapa yang akan diuji dan apa hasil ujian? Walaupun dinyatakan garis panduan untuk syarikat yang ingin beroperasi pada fasa ketiga PKP, mana-mana pekerja asing yang tidak dibenarkan bekerja tetapi memohon pengecualian untuk bekerja, mesti menjalani ujian Covid-19, namun berapa banyak syarikat memenuhi syarat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!