STFC bantu Selangor hadapi Covid-19 secara objektif, tersusun

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) yang diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 10 Mac lalu berfungsi membantu kerajaan Selangor menghadapi wabak koronavirus (Covid-19) secara objektif dan tersusun.

Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan berkenaan juga ditubuh untuk mendidik, memberi penerangan dan pemahaman kepada masyarakat mengenai Covid-19.

“Virus ini virus baru, seluruh dunia masih lagi menekuni segalanya kerana masih banyak belum kenal pasti. Adalah mustahak kepada kami sebagai pasukan petugas memberikan input tepat dan terkini kepada kerajaan negeri untuk disalurkan kepada penguat kuasa seperti Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dan agensi kesihatan lain.

"Kita memberi penerangan kepada semua pemegang berkepentingan termasuk pemilik perniagaan, pasar raya, pasar basah dan semua pihak yang terlibat dengan aktiviti interaksi manusia,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook STFC hari ini.

Menurutnya, jika dirumuskan, terma kerja STFC adalah tertumpu kepada pendidikan, penerangan dan kesedaran termasuk diuar-uarkan menerusi media cetak dan media sosial.

“Sehingga hari ini kita masih terus beri penerangan untuk bantu kerajaan Persekutuan supaya rakyat negeri Selangor akan berbekal dengan maklumat.

“Terlalu banyak sumber membawa penularan berita sama ada virus dan penyakit yang tidak berteraskan sains serta informasi sebenar,” katanya.

Katanya, Selangor berdepan cabaran apabila mencatat kumulatif kes positif Covid-19 tertinggi di negara ini dan epidemiologi virus tersebut terikat dengan kepadatan penduduk atau urbanisasi sesuatu negeri.

“Sebuah negeri seperti Selangor yang mempunyai hampir 6.5 juta penduduk dan urbanisasi, industri dan pengangkutan semua ‘setting’ berbeza dengan luar bandar yang akan melibatkan manusia berinteraksi dan penyakit ini transmisinya adalah interaksi.

Artikel Berkaitan:

“Pastinya Selangor yang mempunyai antara penduduk tertinggi akan menjadi negeri mempunyai paling tinggi insiden Covid-19 dan ia menjadi cabaran kami,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari Amirudin mengumumkan peruntukan berjumlah RM50,000 untuk Pasukan Khas Covid Selangor yang aktif memerangi pandemik berkenaan.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau membentangkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 pada 1 April lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!