PKPD: Penduduk Taman Sri Murni harap bantuan barang mentah
KUALA LUMPUR - Penduduk di Taman Sri Murni berharap pihak berkaitan dapat menyalurkan bantuan barangan mentah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Seorang penduduk, Jumawati Hashim, 44, berkata, penduduk berdepan kesukaran bagi mendapatkan barangan mentah seperti ikan, daging dan ayam berikutan kekangan pergerakan susulan pelaksanaan perintah kawalan tersebut.
Menurutnya, bantuan disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini mencukupi, namun hanya melibatkan barangan kering seperti beras, tepung dan gula.
"Kami hanya dapat bantuan barangan kering untuk tempoh dua hari sekali, namun tiada bantuan barangan basah.
"Kawasan rumah saya penduduk ramai dan ada enam blok, jadi sukar untuk kami dapatkan stok keperluan terutama barangan mentah dan berharap pihak terlibat dapat bantu salurkannya untuk penduduk di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, penduduk juga perlu berjimat kerana barangan keperluan sukar diperoleh walaupun ada kedai yang dibuka.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Pusat Bandar Utara termasuk Taman Sri Murni dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikenakan PKPD bermula 20 April hingga 3 Mei ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!