Banjir kilat dua hari berturut-turut di DUN Sungai Tua
BATU CAVES - Belum pun sampai 48 jam dilanda banjir kilat, penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sekali lagi terpaksa berdepan dengan musibah tersebut yang kembali melanda di kawasan itu.
Insiden sama dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Kertas, Kampung Sungai Tua Tambahan, Kampung Laksamana, Kampung Nakhoda, Kampung Indian Settlement Batu Caves dan Kampung Arab di Selayang Baru.
Ketua Kampung Sungai Kertas, Jamil Azaman Razak berkata, kejadian hari ini lebih teruk berbanding semalam selepas air naik sehingga 0.5 meter.
"Kami baru selesai hantar makanan kepada penduduk yang terlibat banjir kilat semalam sebelum kejadian sama berulang hari ini.
"Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini bagi menempatkan penduduk terlibat," katanya.
Menurutnya, banjir kilat itu berlaku sekitar jam 6 petang ketika hujan lebat sebelum beransur-ansur surut sejam kemudian.
"Kerja pembersihan sedang dilakukan penduduk selepas air mulai surut kira-kira jam 7 petang tadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!