Isu Rohingya: Kerajaan disyor tetapkan jumlah pelarian

Bot membawa 200 PATI Rohingya yang cuba menceroboh perairan negara berdekatan Pulau Langkawi baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
Bot membawa 200 PATI Rohingya yang cuba menceroboh perairan negara berdekatan Pulau Langkawi baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
A
A
A

KLANG - Kerajaan disyor menetapkan jumlah pelarian yang masuk ke negara ini berdasarkan kemampuan sedia ada.

Menyentuh isu pelarian etnik Rohingya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, atas dasar kemanusiaan dan sesama Muslim, mereka sememangnya wajar dibantu.

Bagaimanapun, bantuan yang diberikan itu tidak wajar sekiranya golongan itu mendatangkan masalah dan mengganggu kestabilan rakyat negara ini.

“Pada pandangan saya, yang ada sekarang ini pun sudah mendatangkan masalah kepada kita dan jangan mempolitikkan isu ini. Saya sebagai wakil rakyat sendiri amat terkesan apabila masalah dan isu rakyat sendiri amat sukar diselesaikan termasuk isu tempatan disebabkan warga asing ini.

“Saya syorkan kerajaan tetapkan jumlah kapasiti warga pelarian dan warga asing yang mampu diuruskan. Mereka yang melanggar undang-undang serta tidak patuh kepada status perlu dihantar kembali dan diganti dengan mereka yang akur,” katanya.

Mohd Fakhrulrazi berkata, timbul persoalan sama ada kerajaan mampu menanggung pelarian berkenaan sedangkan rakyat di negara ini masih ramai terabai tidak terbela.

Beliau dalam pada itu memohon maaf jika pendapatnya itu mungkin mengguris hati sesetengah pihak.

“Mudah-mudahan ada jalan membantu mereka tanpa membebankan dan merosakkan kita.

Artikel Berkaitan:

“Buat baik sesama manusia itu tuntutan Islam, namun jangan sampai berbuat baik yang merugikan kita sendiri semata-mata kerana niat kita atau perancangan kita yang salah,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, rakyat negara ini yang menjadi pengkhianat membela pelarian dan warga asing melakukan jenayah juga patut dihukum dengan hukuman keras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!