Ramadan normal baharu yang syahdu
MARTABAK, akok, badak berendam, puteri mandi dan onde-onde adalah antara juadah popular di atas meja ketika berbuka puasa.
Kuih-muih dan sajian enak itu menjadi antara menu yang pasti dibeli di bazar Ramadan.
Kunjungan ke syurga makanan itu menjadi rutin masyarakat di negara ini, tidak kira bangsa dan agama.
Namun sungguh syahdu dirasakan apabila Ramadan tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.
Tiada lagi pemandangan biasa deretan kuih-muih pelbagai warna dan bentuk, apatah lagi juadah pelik yang kebiasaannya hanya boleh ditemui di bazar Ramadan. Itu hakikat yang perlu ditelan.
Ia berikutan kerajaan telah memutuskan supaya tiada bazar Ramadan dibenarkan untuk beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Tidak pernah terlintas dalam fikiran penulis, kita perlu menjalani PKP ketika Ramadan dan mungkin terpaksa menyambut Syawal tahun ini dalam keadaan terbatas.
Ketika masih bersekolah rendah, penulis sering dimomokkan dengan Wawasan 2020 dan tentunya ketika itu impian adalah untuk melihat kereta terbang bebas di udara pada tahun 2020.
Namun impian itu meleset apabila bukan sahaja tiada kereta terbang, malah kita juga tidak bebas lagi ke mana-mana sejak sebulan lalu.
Wabak koronavirus (Covid-19) yang merebak ke hampir 185 negara dengan menjangkau angka lebih 2.9 juta kes jangkitan dalam tempoh empat bulan ini bukan sahaja menyebabkan tiada bazar Ramadan berbentuk fizikal yang boleh dikunjungi malah suasana solat tarawih juga tidak lagi sama.
Di Selangor, hanya imam, bilal dan siak bertugas boleh solat tarawih di masjid dan surau sepanjang Ramadan, itu pun hanya menggunakan pembesar suara di dalam ruang solat.
Ahli kariah pula perlu menunaikan solat tarawih di rumah masing-masing. Ini bermakna tiada lagi pemandangan umat Islam berpusu-pusu ke masjid atau surau untuk menunaikan ibadat sunat itu. Perbezaan lebih meruntun hati, situasi biasa sepanjang Ramadan juga tidak dapat lihat sepanjang bulan ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan semua program Ihya’ Ramadan melibatkan masjid dan surau dengan jemaah dan orang ramai juga tidak dibenarkan di Selangor.
Ini bererti, tiada pengedaran bubur lambuk yang sering dinanti-nantikan setiap tahun, program buka puasa, memasak atau mengagih juadah berbuka puasa secara pandu lalu.
Bagaimanapun, keputusan tersebut tertakluk kepada ketetapan terbaharu yang akan dikuatkuasakan pihak JAIS dari masa ke masa.
Jika Ramadan tidak seperti kebiasaan, Syawal juga pasti berbeza.
Rakyat di negara ini tidak dibenarkan pulang ke kampung untuk menyambut 1 Ramadan lalu apabila PKP fasa tiga masih dikuatkuasakan.
Kata Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, larangan itu sudah dilaksanakan sejak PKP fasa satu dan dua serta Ramadan tetap tertakluk kepada undang-undang sama.
Lebih sayu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menjangkakan wabak Covid-19 yang mengorbankan 98 individu di negara ini tidak akan berakhir sehingga sambutan Aidilfitri.
Bayangkan, kita mungkin tidak dapat melihat wajah-wajah yang tersayang dengan lebih dekat, tiada lagi acara bersalaman dan anak-anak tidak lagi dapat membilang duit raya seperti kebiasaan.
Dalam kebimbangan terhadap Covid-19, jangan pula kita lupa, ada satu lagi wabak yang ‘rakus’ meragut nyawa manusia.
Selangor mencatatkan sebanyak 22,776 kes demam denggi dengan 25 kematian bagi minggu epid-16 bermula sejak 1 Januari hingga 18 April lalu.
Meskipun jumlah kes menurun berbanding tempoh sama tahun lalu, namun kes kematian dilihat menunjukkan peningkatan sebanyak 31.6 peratus.
Justeru, waspada ancaman jangkitan kedua-dua wabak yang membunuh ini. Jaga kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal.
* Nur Farhana Abdul Manan ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!