Tunai zakat harta di rumah bagi warga emas, uzur

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Warga emas dan golongan yang uzur di negeri ini dibolehkan membuat temu janji dengan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang bagi urusan pembayaran zakat harta di kediaman masing-masing.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemudahan itu diberikan sekiranya mereka tidak berkemampuan untuk melakukan pembayaran zakat harta secara dalam talian.

Bagaimanapun katanya, petugas PKZ perlu mengambil langkah keselamatan yang ditetapkan seperti memakai topeng muka sewaktu pembayaran zakat harta dilakukan di kediaman pembayar.

"Petugas PKZ Pahang diingatkan supaya menjaga jarak dan menggunakan cecair pembasmi kuman bagi membendung penularan Covid-19.

"Selain itu, mereka juga diminta untuk meminimumkan masa urusan bersama pembayar, tidak dibenarkan bersalaman dengan pembayar dan pembayar hanya dibekalkan resit sementara," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, resit rasmi pembayaran akan diposkan kepada pembayar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Wan Rosdy berkata, bagi pembayar zakat yang tidak berdepan masalah pembayaran secara dalam talian, mereka boleh berbuat demikian menerusi portal rasmi PKZ Pahang www.zakatpahang.my.

Jelasnya, segala urusan bayaran zakat harta hendaklah dilakukan secara dalam talian melalui portal rasmi PKZ, pertukaran proses kewangan (FPX) dan perbankan internet melalui 12 bank terpilih.

Artikel Berkaitan:

"Pembayar juga boleh menggunakan aplikasi PahangGo iaitu secara debit, kad kredit atau e-Wallet," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!