Mayat bayi baru lahir dibuang tepi jalan
KUALA LUMPUR - Mayat bayi perempuan baru dilahirkan ditemui dalam beg plastik di tepi jalan berhampiran gerai minuman di Bukit Dinding di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, mayat bayi terbabit ditemui seorang lelaki yang melalui tempat kejadian selepas terlihat satu pasangan meninggalkan beg plastik di lokasi berkenaan kira-kira jam 9.40 pagi.
"Lelaki terbabit yang berasa curiga dengan kandungan beg plastik berkenaan kemudian memeriksa kandungannya sebelum mendapati terdapat mayat bayi perempuan.
"Bayi cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, saksi terbabit kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.
Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek terlibat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!