MyPasor.com platform usahawan desa pasar produk
PASIR MAS - MyPasor.com bersedia menjadi platform kepada usahawan desa bagi memasarkan produk keluaran mereka ke pentas antarabangsa pada masa hadapan.
Pengarah Urusannya, Ezuan Hadi berkata, menerusi platform tersebut, pihaknya menawarkan 'tapak' digital kepada pengusaha produk tempatan selain perkhidmatan 'runner' untuk menghantar barangan secara terus kepada para pelanggan.
"MyPasor.com merupakan salah satu platform baharu jenama tempatan yang cuba kami ketengahkan ke peringkat global dalam membantu memasarkan produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"MyPasor.com berhasrat menjadi platform setanding dengan jenama antarabangsa seperti Shoppe atau Lazada," katanya kepada Sinar Harian selepas menyerahkan beg penghantaran kepada ‘runner’ MyPasor.com di Masjid Al-Hanan, Simpang Empat Tendong di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Menurutnya, sebagai permulaan, MyPasor.com memberikan tumpuan kepada kerja-kerja penghantaran makanan kepada para pelanggan yang menggunakan khidmat laman sesawang itu.
"Kewujudan MyPasor.com tepat pada masanya ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya.
Katanya, MyPasor.com merupakan platform pemudah cara dalam membantu masyarakat membeli makanan dengan lebih mudah sepanjang tempoh PKP di bulan Ramadan.
“Insya-ALLAH kita akan memperkasakan lagi platform ini agar dapat membantu golongan PKS memasarkan produk mereka.
“Pada masa sama dapat membantu ‘runner’ menjana pendapatan menerusi platform berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!