Tipu pembelian topeng muka RM38,000

Topeng muka N95 - Foto Bernama
Topeng muka N95 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ejen pembekal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menipu dalam pembelian topeng muka mencecah RM38,000 dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Zafir Zainuddin, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 29 tahun untuk mendapatkan bekalan topeng muka kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dia didakwa mendorong pemuda itu menyerahkan 76 kotak topeng muka jenis N95 bernilai RM38,000.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur pada 14 April lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri mencadangkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun peguam, Shahirah dan Redzuan yang mewakili tertuduh merayu jaminan diberi pada kadar yang rendah kerana anak guamnya hanya bertindak sebagai ejen pembekal.

Mahkamah membenarkan Mohd Zafir diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu sebutan kes yang akan dijalankan pada 16 Jun depan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!