Warga emas cuba gantung diri atas pokok
KUALA LUMPUR - Seorang warga emas yang cuba membunuh diri dengan menggantungkan diri pada sebatang pokok di Lorong Haji Taib 5, di sini, hari ini, berjaya digagalkan anggota bomba.
Komander Operasi, Suhaimi Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan melalui talian MERS 999 pada jam 12.52 tengah hari.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati terdapat seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an memanjat pokok dan mengugut untuk membunuh diri dengan bertindak mengikat tali di bahagian leher," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun berjaya dipujuk dan diselamatkan anggota operasi.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.13 petang dan mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!