Ingkar PKP mahu pergi kenduri sempena Ramadan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

TAWAU - Empat beranak dan dua lagi didenda RM800 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menghadiri satu majlis kenduri sempena Ramadan lima hari lalu.

Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Abdurrasad Arsad,60; Salbiah Bain,64; Raman Abdurrasad,36; Rozana Abdurrasad,28; Salmawati Safar,27; dan Mohd Arifin Saiful, 23.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua mereka menjalani hukuman penjara 10 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Dzul Elmy turut menasihati semua tertuduh supaya menangguhkan niat menghadiri kenduri acara keagamaan termasuk upacara akad nikah dan solat berjemaah di masjid berikutan pelaksanaan PKP yang bertujuan mencegah penularan wabak Covid-19.

Kesemua tertuduh didakwa secara bersama berhimpun di dalam sebuah kenderaan jenis van di Simpang Tanah Merah Kampung Merotai Besar, Merotai, Tawau pada jam 1.50 petang 23 April lalu untuk menghadiri majlis kenduri.

Mereka didapati telah melanggar Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1), peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Dg Nor Azarinawaty Ag Kachee manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!