10,000 pembayar zakat fitrah dalam talian PPZ-MAIWP

Rekod dalam tempoh empat hari Ramadan itu menunjukkan masyarakat sudah mula menerima dan selesa dengan kaedah pembayaran secara dalam talian.
Rekod dalam tempoh empat hari Ramadan itu menunjukkan masyarakat sudah mula menerima dan selesa dengan kaedah pembayaran secara dalam talian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kaedah pembayaran zakat fitrah dalam talian di Wilayah Persekutuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan kira-kira lebih 10,000 pembayar dalam tempoh empat hari Ramadan.

Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Nor Mukshar Harun berkata, ia membabitkan kutipan lebih RM20,000 melalui laman sesawang https://fitrah.zakat.com.my/.

"Masyarakat sudah mula menerima dan selesa dengan kaedah pembayaran secara dalam talian ini. Saluran ini juga membantu dalam urusan bayaran zakat terutama dalam tempoh PKP. Insya-ALLAH cara pembayaran ini adalah selamat, lebih mudah dan cepat," katanya ketika dihubungi.

Antara aplikasi pembayaran zakat fitrah dan harta secara dalam talian yang lain ialah Boost, laman sesawang bank (14 bank), PayHalal, Portal MyEG, U-Mobile dan Pos Online.

Tahun ini, dua kadar zakat fitrah ditetapkan di Wilayah Persekutuan iaitu RM5 dan RM7.

Bagaimanapun, menurutnya, bagi yang tidak mempunyai kemudahan internet, PPZ-MAIWP membuka empat kaunter iaitu di Dataran Shamelin dan KLSC Wangsa Maju di Kuala Lumpur, Presint 15 (Diplomatik) Putrajaya dan Times Square di Labuan dari jam 9 pagi hingga 3 petang, Isnin hingga Jumaat.

"Bagi urusan di kaunter, PPZ-MAIWP akan menjalankan proses saringan suhu badan terhadap semua pelanggan selain memastikan penjarakan sosial dipatuhi, serta turut menyediakan penutup hidung dan mulut, sarung tangan dan cecair pensanitasi tangan sebelum berurusan di kaunter.

"Urusan bayaran zakat akan dibuat seperti biasa (akad dan doa) tetapi petugas-petugas kaunter tidak berjabat tangan ketika menerima bayaran zakat bagi mengelakkan sebarang kontak rapat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Mukshar berkata, kaunter zakat PPZ-MAIWP hanya beroperasi untuk menerima bayaran zakat sahaja sama ada zakat harta atau zakat fitrah.

"Sebarang persoalan atau permasalahan zakat, para pembayar boleh menghubungi pusat panggilan di talian zakat 1300 88 5757, Facebook Messenger atau emel kepada info@zakat.com.my," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!